HULU SELANGOR – Aktiviti memancing di kawasan lombong bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemui lemas di dalam lombong Tasik Kiambang, Serendah, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada bapa mangsa yang menyatakan anaknya telah lemas di lokasi kejadian, sekitar pukul 2.47 petang.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, pihak kami mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, siasatan polis mendapati mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti memancing semasa mangsa ditemui dalam keadaan mati lemas oleh bapanya.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, mangsa yang hilang sejak malam semalam itu ditemui di bahagian tepi tasik terbabit.
“Mengikut maklumat keluarga mangsa, dia dikatakan telah hilang sejak malam tadi sebelum mayatnya ditemui petang ini,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














