MEXICO CITY – Kapten England, Harry Kane mengakui pasukan itu tidak akan berdepan laluan mudah menjelang pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Mexico di Stadium Mexico City pagi esok.
Mexico dijangka turun dengan motivasi cukup tinggi kerana bermain di laman sendiri selain memiliki kelebihan beraksi di stadium altitud tinggi yang sememangnya sudah menjadi kebiasaan buat mereka.
Walaupun hampir dimalukan Congo pada aksi 32 terbaik sebelum ini, namun Kane menyifatkan pertemuan menentang Mexico bakal menjadi ujian sebenar skuad The Three Lions dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Justeru, dia menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan cabaran itu sebagai pembakar semangat kerana mereka wajib menewaskan pasukan-pasukan terbaik untuk menjulang trofi Piala Dunia.
“Saya hanya mahu menikmati buat seketika kemenangan ke atas Congo kerana selepas ini ada perlawanan (menentang Mexico) lebih sukar. Mexico adalah pasukan besar, lebih-lebih lagi mereka bermain di laman sendiri.
“Suasana perlawanan pasti sangat menakjubkan dan situasi itu mampu memberikan tekanan kepada mana-mana pasukan. Bagaimanapun, jika mahu menjadi juara dunia, kami perlu menang perlawanan seperti ini,” katanya.
Sebagai rekod, skuad The Three Lions menampilkan aksi cukup baik pada kempen kali ini apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan berpeluang mengulangi pencapaian mara ke suku akhir seperti edisi empat tahun lalu di Qatar.
Sementara itu, Kane juga memberi peringatan kepada rakan sepasukan supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum mereka melangkah masuk ke kubu pasukan lawan yang bakal menjadi medan ‘peperangan’ epik.
“Buat masa sekarang, kami hanya perlu berehat dan bertenang sebelum mengalih sepenuh perhatian kepada aksi menentang Mexico nanti,” ujarnya. – AGENSI














