RAMBUT bukan sahaja menjadi mahkota untuk wanita tetapi juga untuk lelaki. Setiap gaya rambut mampu mengubah penampilan seseorang. Namun, tidak semua orang dikurniakan rambut yang lebat dan cantik.
Paling ketara, kita dapat lihat kebotakan rambut di kawasan tengah kepala terutama untuk kaum lelaki. Kebotakan rambut boleh berpunca daripada beberapa faktor seperti hormon, genetik dan kekurangan nutrisi.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang mempunyai kadar kebotakan tertinggi dalam kalangan lelaki seperti dilaporkan oleh laman web Emrahcinik.
1- Sepanyol

DI kedudukan pertama adalah Sepanyol dengan hampir 45 peratus lelaki di negara ini mengalami alopecia androgenetik.
Populasi Sepanyol menunjukkan prevalens varian genetik yang tinggi dalam gen AR (reseptor androgen), ‘pemain’ utama dalam kepekaan folikel terhadap Dihydrotestosterone (DHT). Kajian genomik mendedahkan bahawa penduduk di kawasan Iberia itu biasanya membawa risiko yang dikaitkan dengan kebotakan yang lebih awal dan lebih teruk.
Iklim Mediterranean juga memainkan peranan. Pendedahan matahari yang sengit merosakkan folikel rambut yang sudah terdedah secara genetik. Tambahan pula kadar merokok di Sepanyol juga tinggi.
2- Itali

SEBANYAK 44.37 peratus lelaki di Itali mengalami kebotakan. Orang Itali berkongsi warisan genetik Mediterranean itu dengan kepekatan varian risiko kromosom X yang sama tinggi.
Penduduk di kawasan selatan secara genetik lebih dekat dengan populasi Yunani dan Asia Barat yang menunjukkan kadar rambut lebih tinggi. Beberapa tinjauan tempatan di Sicily dan Calabria melaporkan angka melebihi 46 peratus.
Itali juga mendahului Eropah untuk aktiviti pemindahan rambut yang dilakukan di dalam negara.
3- Perancis
SETERUSNYA, Perancis mencatatkan 44.25 peratus kebotakan dalam kalangan lelaki. Kira-kira satu daripada dua lelaki Perancis akan mengalami sedikit kebotakan sepanjang hayat mereka.
Kedudukan Perancis di persimpangan pengaruh genetik Nordic dan Mediterranean meletakkan mereka di kedudukan ini. Wilayah selatan seperti Provence dan Occitanie mencerminkan pengaruh Sepanyol, manakala kawasan utara lebih dekat ke Jerman.
Sekitar 25 peratus lelaki Perancis menunjukkan keguguran rambut yang ketara sebelum umur 30 tahun, itulah sebabnya ramai yang mendapatkan perundingan awal tentang pilihan ubat pencegahan seperti finasteride atau minoxidil.
4- Amerika Syarikat

Amerika Syarikat (AS) berada di tempat keempat dengan 42.68 peratus lelaki mengalami kebotakan. Angka ini dibentuk oleh kepelbagaian genetik Amerika, walaupun keturunan Eropah masih mendominasi.
Orang Amerika Kaukasia menunjukkan kadar yang setanding dengan rakan Eropah mereka (sekitar 44-45 peratus), manakala orang Afrika Amerika dan Asia Amerika menurunkan purata dengan kelaziman masing-masing kira-kira 30 peratus dan 20 peratus.
Negara ini mempunyai lebih 4,000 pakar bedah yang melakukan pemindahan rambut lelaki, menjana berbilion-bilion dolar setiap tahun.
5- Jerman

KELIMA, Jerman mencatatkan peratus sebanyak 41.51 peratus. Populasi Jerman menunjukkan peratusan yang agak rendah berbanding jiran Mediterranean mereka.
Kajian genetik menunjukkan orang Jerman kurang kerap membawa varian risiko gen AR yang paling agresif. Oleh itu, kebotakan di Jerman biasanya berkembang lebih perlahan.
Jerman juga telah mempelopori pendekatan pencegahan, menerima pakai rawatan awal dan mengekalkan salah satu kadar preskripsi finasteride tertinggi di Eropah.














