fbpx
RAZMAN masih mengingati peristiwa saudaranya lenyap secara misteri di sebatang sungai di salah sebuah negeri di utara Semenanjung apabila mangsa seolah-olah pergi ke tengah sungai kerana dipanggil seseorang. – ilustrasi Shah Hasan

Misteri sungai pencari ‘korban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH orang hilang di hutan sewaktu aktiviti mendaki mahupun aktiviti sukan sering mendapat sorotan media tidak kira di negara kita atau di negara asing. 

Kisah orang hilang yang ditemui semula dalam keadaan lemah setelah beberapa hari sesat sememangnya melegakan semua pihak terutama kaum keluarga individu terbabit.

Namun, kisah Mitos yang ingin diceritakan kali ini, bukan tentang kisah kehilangan di hutan tebal tetapi melibatkan lenyapnya seseorang di kawasan sungai.

Peristiwa misteri yang berlaku 40 tahun lalu di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia itu diceritakan oleh seorang pemandu lori di Kuala Selangor baru-baru ini. 

Razman Mat, 60, berkata, kisah misteri tersebut berlaku semasa dia berusia 16 tahun.

“Kejadian berlaku selepas majlis kenduri kahwin melibatkan sepupu saya. Sememangnya kenduri tersebut berlangsung meriah dengan semua ahli keluarga  berhempas- pulas menjayakan majlis.

“Pada petang kejadian, saya dan anak saudara berumur 9 tahun sedang rancak mandi-manda di sungai membersihkan diri bersama saudara-mara yang lain.

“Ada 30 orang terdiri daripada orang tua, remaja dan kanak-kanak yang mandi di sungai tersebut. Air di kawasan tepian kami mandi tidak terlampau deras dan cuma separas pinggang orang dewasa,” katanya.

Razman berkata, suasana petang selepas asar tersebut memang hiruk-pikuk dengan suara kanak-kanak dan ibu bapa yang bermain air. 

Tiba-tiba cerita Razman lagi, suasana bising tadi menjadi bingit apabila suara ibu saudaranya menjerit memanggil anaknya yang sedang melambai-lambai dibawa arus deras ke hilir. 

“Semua yang ada di situ, dapat melihat Mak Tom menjerit dan menangis meminta anak perempuannya berusia dalam lingkungan 20-an untuk berenang kembali ke tepian. 

“Namun, lama-kelamaan tubuh anaknya, Normala lenyap ditelan sungai di hilir. Saya dan anak saudara berlari ke rumah bapa saudara iaitu abang Mak Tom melaporkan kejadian yang mengejutkan tersebut,” katanya. 

Setengah jam kemudian Razman memberitahu, kawasan sungai tersebut dipenuhi oleh penduduk kampung yang berhasrat untuk membantu mahupun menjadi pemerhati semata-mata. 

Salah seorang saudara saya berusia 40-an dengan nekad memberanikan diri berenang dan menyelam di kawasan yang airnya dalam hingga melebihi ketinggian 8 meter.

“Beberapa minit abang sepupu saya menyelam mencari Normala yang tenggelam lebih daripada 10 minit.

“Pihak berkuasa seperti polis dan bomba yang tiba turut turun bersama kelengkapan masing-masing seperti bot dan kelengkapan menyelam untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Setelah mudik ke hilir dan meneruskan pencarian hingga beberapa hari, jasad mangsa tetap gagal ditemui seolah-olah termasuk jauh ke dalam lubuk dan tidak timbul-timbul sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Razman memberitahu, kejadian orang mati lemas pada era tersebut bukanlah sesuatu yang pelik cuma keadaan sebenar mangsa yang pergi dibawa arus kekal menjadi misteri.

Ceritanya lagi, yang menjadi bahan perbualan orang ramai ialah cara pemergian mangsa yang seperti orang tidak sedar.

“Sebelum kejadian, mangsa hanya berenang di sekitar Mak Tom dan sepupunya yang lain. Mereka bergurau dan bermain dalam keadaan terkawal. 

“Cuma Normala dilihat berenang ke tengah sungai seakan-akan dipanggil oleh seseorang. Ketika itu Mak Tom sudah memanggilnya beberapa kali namun tidak dihiraukan.

“Normala dilihat seperti sedang berada dengan seseorang atau sedang melayani dunianya sendirian,” katanya. 

Jelas Razman lagi, misteri yang masih berlegar-legar di fikiran saksi yang melihat Normala hanyut ke hilir ialah adakah lambaiannya itu mengucapkan selamat tinggal atau tangannya terkapai-kapai kelemasan?

Razman berkata, pada pandangannya, dia melihat Normala seperti melambai-lambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal dan bukannya terkapai-kapai kelemasan.

“Peristiwa tragis, namun masih menjadi misteri tersebut sememangnya amat mendukacitakan keluarga Mak Tom dan saudara-mara yang lain.

“Ini disebabkan ia berlaku selepas kenduri perkahwinan yang meriah. 

“Kejadian tidak diduga itu sememangnya menyedihkan waris hingga ke saat ini, termasuk saya.

“Walaupun begitu, ada yang mengatakan Mak Tom pernah bermimpi bertemu anaknya itu dalam keadaan sihat walafiat. Peristiwa menyedihkan itu tetap berbekas di hatinya hingga akhir hayat Mak Tom,” katanya. 

Kisah sungai di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia itu ujar Razman lagi, mempunyai pelbagai kisah mitosnya yang tersendiri. 

Sungai tersebut kata Razman, seakan menunggu mangsa setiap kali musim tengkujuh di hujung bulan Disember. 

Kes mati lemas melibatkan Normala kata Razman, adalah antara kejadian tragis melibatkan penduduk di kawasan sungai tersebut.

“Kes bot terbalik melibatkan beberapa mangsa mati lemas menjelang tahun baharu di sungai sama seakan menguatkan lagi kepercayaan bahawa sungai itu sememangnya inginkan korban menjelang musim tengkujuh,” katanya.

Kejadian demi kejadian mati lemas jelas Razman lagi, akhirnya berkurang menjelang hujung 1980-an setelah satu empangan didirikan di hulu sungai. 

Awal 1990-an hingga tahun 2000 jelas Razman, banyak jambatan telah dibina merentasi sungai tersebut, maka penggunaan bot dan kenderaan air diminimumkan.

“Sejak banyak kes mati lemas berlaku dan kes Normala yang masih belum ditemui jasadnya menyebabkan banyak teori timbul.

“Antara teori paling popular, Normala sudah selamat berada di dunia bunian dan dijaga masyarakat di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN