KEBELAKANGAN ini, pelbagai isu berkaitan agama Islam menjadi perbahasan hangat di media sosial, khususnya yang melibatkan hubungan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berautoriti bagi mengelakkan salah faham serta memastikan masyarakat memahami pandangan Islam secara lebih tepat dan menyeluruh.
Bagi mengupas isu-isu tersebut dengan lebih mendalam, wartawan Kosmo! Ahad, Siti Sarah Nurul Liyana menemu bual Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, untuk mendapatkan penjelasan berhubung pelbagai persoalan yang menjadi perhatian masyarakat ketika ini.
Kosmo! Ahad: Kebelakangan ini timbul banyak isu berkaitan agama Islam tersebar di media sosial melibatkan penganut bukan Islam yang dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa isu. Bagaimana cara untuk memberi kefahaman kepada mereka dalam hal ini?
Ahmad Fauwaz: Sebenarnya, kita kekurangan dialog. Semua isu dapat diperbaikkan dengan dialog. Berdasarkan manhaj Al-Quran, metode Al-Quran itu sendiri, Tuhan menyelesaikan masalah dengan dialog; berdialog dengan malaikat dan juga dengan Nabi Allah Ibrahim.
Jadi, kita kena memperbaikkan dialog dengan orang bukan Islam sebab mereka tidak semua belajar tentang Islam.
Jadi, kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata. Kita perlu bergerak dalam bentuk yang lebih proaktif, bukan hanya memberi respons apabila ada isu.
Kita perlu mewujudkan kesedaran awam untuk memahamkan kecantikan Islam dan meletakkan batas-batas yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak. Matlamatnya adalah menghasilkan keamanan dan hidup dalam suasana yang mesra.
Hukum asal hubungan kita dengan orang bukan Islam ialah dialog dan kerjasama, bukannya peperangan. Itu dasar Al-Quran.
Kita juga perlu berani berhadapan dengan kefahaman yang salah. Di Jabatan Mufti, kami sentiasa membuka pintu dialog yang luas kepada semua orang bukan Islam.
Bagaimanakah Islam menggariskan sikap sebenar umat Islam terhadap masyarakat bukan Islam di negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia?
Islam menggariskan supaya kita menyebarkan kebaikan, kebenaran dan kecantikan. Kita juga mempunyai titik pertemuan yang sama dengan orang bukan Islam dari sudut hak-hak kemanusiaan.
Kita perlu menyebarkan risalah keadilan dan risalah kemanusiaan. Manusia merupakan fokus utama. Kita dengan orang bukan Islam adalah saudara dari sudut keturunan, iaitu daripada Nabi Allah Adam.
Kita juga warganegara Malaysia yang terikat dengan kontrak Perlembagaan. Jadi, terdapat banyak ruang untuk kita menyantuni mereka.
Cuma kita perlu menggunakan bahasa yang lebih mesra seperti ‘orang bukan Islam’. Bukan salah untuk menyebut kafir, tetapi ada tempatnya. Contohnya kepada mereka yang memerangi Islam seperti Israel dan sebagainya.
Tetapi jika jiran kita bukan Islam, kita tidak menyebut mereka sebagai kafir. Setiap perkataan ada susunan dan tempatnya.
Walaupun secara asasnya, kafir bermaksud tidak beriman, namun kita menyarankan penggunaan kalimah orang bukan Islam kerana kalimah kafir kurang disenangi oleh sebahagian orang bukan Islam.
Dari sudut maqasid dan pendekatan dakwah, penggunaan bahasa yang lebih mesra dapat membantu mendekatkan mereka kepada Islam serta menggalakkan mereka mengenali agama ini dengan lebih baik. Jadi ada pertimbangan tertentu dalam penggunaannya.
Bagaimana pihak mufti menyeimbangkan antara keperluan memelihara batas dengan keperluan menggalakkan interaksi sosial memandangkan kita negara berbilang kaum?
Ini satu nikmat dan merupakan ketentuan Ilahi. Kita perlu berinteraksi dengan ilmu, berdasarkan ilmu dunia dan akhirat, merangkumi ilmu wahyu dan ilmu akal serta mengambil kira realiti semasa.
Kita melihat perkara yang tidak boleh diubah seperti akidah dan perkara yang fleksibel seperti fiqah dan kehidupan.
Dulu mungkin kita tidak boleh memberi salam kepada orang bukan Islam. Dulu mungkin kita tidak membicarakan tentang wakaf orang bukan Islam. Sekarang kita boleh membicarakan tentang wakaf orang bukan Islam. Kita boleh bekerjasama dan berurusan dengan mereka.
Jadi Jabatan Mufti menjadikan kajian, ilmu dan dialog sebagai kunci kepada kehidupan bersama. Malaysia sangat indah dari sudut sejarah, geografi dan undang-undang.
Semua data yang kita ada menunjukkan Malaysia berjaya membina sebuah negara majmuk yang menunjukkan keadilan dan kesaksamaan tanpa menafikan agama lain, serta menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi.
Islam menjadi agama yang tertinggi dalam kepelbagaian dan ini menjadikan negara ini unik.
Negara Islam yang unik, membuka ruang kepelbagaian aktiviti kepada orang bukan Islam. Mereka bebas melaksanakan ibadat mereka, bebas bekerja, bebas berkahwin mengikut undang-undang yang sedia ada dan mempunyai mahkamah sivil untuk diadili.
Mereka mempunyai semua ruang tersebut. Tidak ada orang Islam yang pernah meruntuhkan gereja atau tempat ibadat mereka. Ini menunjukkan ketinggian masyarakat Islam secara umumnya, satu pencapaian yang sangat luar biasa.
Setiap kali tiba pilihan raya umum (PRU), ada segelintir pihak yang mempersoalkan memberi undi kepada calon bukan Islam. Apa pandangan mufti dalam hal ini?
Sebenarnya tidak ada perbezaan pandangan yang besar. Kita melihat kepada bentuk undi itu mewakili apa.
Ulama berbeza pandangan kerana wakil rakyat dianggap sebagai wakil untuk menyuarakan suara rakyat. Jadi tidak ada masalah sekiranya tidak mengganggu agama dan tidak mengancam agama kita untuk melantik sebahagian orang bukan Islam menjadi wakil rakyat bagi menyuarakan suara rakyat.
Mereka bukan pemimpin yang menguasai rakyat, tetapi mewakili rakyat, seperti kita melantik peguam dan sebagainya. Boleh melantik sebagai wakil rakyat, tetapi tidak mengganggu agama dan tidak mengurangkan kestabilan umum Islam.
Ada juga yang berpandangan lebih baik mengundi orang bukan Islam yang baik daripada memberi sokongan kepada orang Islam yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Apa pandangan?
Ada kaedah yang sering disalahfahami bahawa kita mengundi berdasarkan apa yang kita mahu.
Sebenarnya kaedah itu bertujuan menggesa orang Islam menjadi orang yang adil kerana orang Islam sepatutnya menjadi golongan yang berintegriti.
Dalam isu mikro tidak ada masalah.
Cuma kita tidak menganggap kaedah itu tepat jika dikata mengundi orang kafir yang lebih adil lebih baik daripada orang Islam.
Namun itu merupakan perkara yang datang dalam bentuk pengecualian. Ada keadaan tertentu kita mengundi orang bukan Islam kerana dia membawa mesej rakyat, tetapi ia tidak boleh dijadikan asas dalam bentuk yang lebih besar.
Apa pandangan tentang majlis hari lahir yang disambut dengan tema dekorasi perkampungan bunian yang tular di media sosial baru-baru ini?
Tidak perlu kita berinteraksi dengan alam bunian. Tidak perlu berinteraksi dengan jin. Serahkan urusan jin kepada urusan mereka dan kita sibukkan diri dengan urusan kemanusiaan.
Tidak perlu sibuk dengan urusan jin. Boleh disimpulkan sambutan sebegitu kurang sesuai. Kita tidak mahu mengatakan haram, tetapi tidak seharusnya berlaku.
Sebahagian ulama mengharamkan dan sebahagian ulama memakruhkan. Jadi ia bergantung kepada niat. Jika dilakukan untuk berseronok atau benar-benar berniat meniru gaya orang bukan Islam, maka ia boleh jatuh haram. Tetapi jika tidak ada niat tersebut, paling kurang hukumnya makruh.
Secara kesimpulannya, apakah pendekatan terbaik untuk menjelaskan panduan-panduan agama kepada masyarakat umum supaya mereka faham dengan baik dan tidak menimbulkan salah faham?
Dengan drama, penulisan dan platform media sosial. Kita menggunakan semua platform yang dekat dengan masyarakat. Ia merupakan sesuatu yang fleksibel.
Mungkin saya ingin katakan bahawa Jabatan Mufti mesti memimpin masyarakat dalam semua aspek pemikiran, akidah dan syariah. Kita mesti menjuarainya.














