fbpx
TONGGAK serangan Perancis, Kylian Mbappe meraikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Paraguay, sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Mbappe bawa Perancis ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PHILADELPHIA – Kylian Mbappe muncul wira Perancis apabila menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Paraguay sekali gus mengesahkan kemaraan Les Bleus ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Gol pada minit ke-70 itu bukan sahaja memastikan Perancis melepasi ujian paling sukar setakat ini, malah menyaksikan Mbappe mengumpul tujuh gol kejohanan untuk menyamai pencapaian kapten Argentina, Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas.

Paraguay yang hadir dengan reputasi mengejutkan Jerman pada pusingan terdahulu berjaya menyukarkan pergerakan jentera serangan Perancis menerusi benteng pertahanan tersusun selain tidak teragak-agak menggunakan permainan fizikal sepanjang aksi.

Keadaan cuaca panas melampau di Philadelphia turut menjejaskan rentak permainan apabila kedua-dua pasukan lebih banyak bertarung di bahagian tengah dengan hanya lima percubaan direkodkan sepanjang separuh masa pertama.

Perancis akhirnya memecah kebuntuan selepas pemain gantian, Desire Doue dijatuhkan Diego Gomez di dalam kotak penalti sebelum pengadil menghadiahkan sepakan penalti hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Mbappe tenang menyempurnakan peluang tersebut apabila memperdayakan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill untuk menghadiahkan jaringan tunggal perlawanan serta meneruskan rekod cemerlangnya di pentas Piala Dunia.

Paraguay cuba bangkit memburu gol penyamaan pada baki permainan, namun kekentalan benteng pertahanan Perancis memastikan kemenangan kekal milik skuad kendalian Didier Deschamps untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Kejayaan itu menyaksikan Perancis bakal membuat perhitungan dengan Maghribi di Boston bagi memburu tiket ke separuh akhir pada awal pagi Jumaat (10 Julai). KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN