PETALING JAYA – Sebahagian rakyat Malaysia memilih jalan berliku untuk mencari rezeki apabila sanggup menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer (km) dan bangun seawal pukul 4.30 pagi hingga ada yang mengalami sakit tulang belakang ekoran duduk terlalu lama.
Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka perlu merentas dua buah negeri untuk sampai ke tempat kerja dan memperuntukkan belanja antara RM800 hingga RM1,200 sebulan hanya untuk perbelanjaan tiket bas, tol dan petrol.
Rata-rata yang ditemui Kosmo! mengakui mereka perlu berkorban masa dan tenaga untuk mencari rezeki kerana tiada pilihan lain demi rumah tangga dan anak-anak yang masih bersekolah.
Kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan, Siti Anum Ab. Wahab, 34, berkata, dia perlu bangun awal untuk bersiap sebelum pergi ke Melaka Sentral pada pukul 5.30 pagi bagi menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.

Katanya, selepas dua jam, dia akan menaiki Express Rail Link (ERL) ke Stesen KL Sentral sebelum berjalan kaki ke tempat kerja yang terletak berhampiran.
“Bos memahami dan sangat prihatin terhadap keadaan saya yang tinggal jauh. Saya masuk pejabat pada pukul 7.30 pagi dan akan bersiap-siap pulang selepas cukup lapan jam kerja sekitar 3.30 petang.
“Untuk pulang, saya akan menaiki ERL atau komuter dari KL Sentral ke TBS untuk menaiki bas dan tiba di Melaka semula sekitar pukul 6 petang. Perbelanjaan bulanan mencecah RM800 dan ramai lain yang buat seperti saya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Siti Anum, dia tiada pilihan kerana suaminya bekerja di Melaka selain telah membeli rumah di situ yang menyebabkannya sukar untuk berpindah ke ibu negara.
Tambahnya, ekoran selalu menaiki bas dengan kerusi tidak selesa, dia telah dimasukkan ke wad sebanyak dua kali kerana mengalami sakit tulang belakang hingga doktor memintanya menghadiri fisioterapi.
Seorang pensyarah, Dr. Faridah Hanem Ab. Rashid, 41, berkata, dia berulang-alik dari rumahnya di Shah Alam, Selangor ke Universiti Teknologi Mara Rembau, Negeri Sembilan dengan jarak 220km setiap hari.
“Saya akan bertolak selepas subuh dan tiba 90 minit kemudian. Untuk pulang ia bergantung jika tiada kelas petang saya akan bertolak pada pukul 3.30 petang.
“Jika ada kelas petang, saya akan bertolak antara pukul 5 atau 6 petang. Saya membelanjakan RM1,200 untuk petrol dan tol,” kata ibu kepada dua anak itu.

Menurut Faridah Hanem, berulang-alik untuk jarak yang jauh amat memenatkannya, namun dia terpaksa kerana suaminya bekerja di Shah Alam dan sentiasa memberi semangat serta galakan selain mengambil khidmat pembantu rumah untuk membantunya.
Bagi pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Adzrah Ramle, 42, dia berulang-alik dari Sungai Buloh ke Nilai, Negeri Sembilan setiap hari sejak 2008 yang mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam 30 minit.
“Setiap hari saya perlu hantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh dan perlu berada di atas lebuh raya untuk tiba di tempat kerja pada pukul 8.30 pagi.
“Kemudian, saya perlu bertolak pada pukul 4.45 petang untuk ambil semula anak. Kos bulanan mencecah RM1,000 dan saya tiada pilihan kerana ibu yang ada masalah kesihatan dan tinggal bersendirian di Sungai Buloh sejak bapa saya meninggal dunia,” katanya.
Ujar Adzrah, adik beradiknya pula tinggal berjauhan dan rumahnya dekat dengan pelbagai fasiliti selain mudah meminta bantuan saudara-mara berdekatan sekiranya berlaku kecemasan ketika dia bekerja.
Tambahnya, suaminya pula bekerja di Port Dickson dan hanya pulang beberapa kali dalam sebulan kerana perlu tinggal di kawasan projek tempat kerjanya.
“Memang sangat memenatkan kerana berulang-alik setiap hari lebih-lebih lagi banyak urusan perlu diselesaikan seorang diri. Jika suami bercuti, dia akan membantu saya seperti memandu ke tempat kerja.
“Apa pun ini adalah kehidupan dan mahu atau tidak, memang kita perlu hadap. Saya ambil cabaran ini dalam bentuk positif misalnya, saya ada masa untuk berzikir dan selawat di samping dapat merancang kerja sepanjang pemanduan sebelum masuk ke pejabat,” katanya.














