fbpx
RIENA DIANA

Imej seksi, simbolik bahagia, cantik Riena Diana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUARANNYA, pelakon bertubuh kecil itu nampak gembira dan ceria. Sikap periang dan peramah membuatkan dirinya mudah didekati sesiapa sahaja. Begitu juga lewat sesi fotografi bersama Pose tempoh hari.

Setiap masa, sentiasa ada tawa menyulami aksi pemilik nama pentas Riena Diana itu di hadapan kamera. Namun, dari satu sudut lain, galau yang berkocak dalam jiwanya tidak berjaya disembunyikan sepenuhnya.

Sejak akhir-akhir ini, nama Riena tiba-tiba menjadi bualan. Semuanya bermula dengan kisah putus cintanya bersama kekasih yang dikenali sebagai Nik Afiq.

Kisahnya bersambung lagi apabila memanas dek perbuatan sendiri berkongsi gambar berpakaian mencolok mata ketika malam sambutan tahun baharu.

Ramai yang terkejut melihat penampilan pelakon berusia 26 tahun itu yang disifatkan terlalu seksi. Malah ada yang menganggap imej sebegitu tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.

Bahagia, cantik

Namun tuan punya badan sendiri mengakui bahawa ‘seksi’ itu sebenarnya sudah sebati dalam dirinya sejak dahulu, cuma tidak pernah didedahkan kepada umum.

“Kenapa baru sekarang saya kongsi imej begitu (seksi)? Mungkin sedikit sebanyak kerana faktor putus cinta. Sekarang dah tak ada orang nak beri nasihat. Betul, keluarga saya pun ada beri nasihat juga.

“Cuma sebelum ini ada orang yang memantau. Kadang-kadang saya pun ada minta pendapat. Tapi sekarang saya sudah tidak ada tempat lagi (mengadu),” katanya.

RIENA DIANA mengakui bekas teman lelakinya ada mengajaknya berjumpa, namun dia enggan berbuat begitu kerana masih belum bersedia.

Dedah Riena lagi, disebabkan kisah putus cinta, dia mahu menunjukkan kepada orang lain bahawa dirinya cukup bahagia, makin cantik dan tidak hairan dengan apa yang berlaku.

“Jadi tanpa berfikir panjang saya dedahkan diri sebenar kepada umum. Pada waktu itu saya nak tunjuk bahawa saya gembira, boleh buat apa sahaja yang saya nak. Sebab itu saya berkongsi imej seksi dalam media sosial,” luahnya.

Bagaimanapun, kata pemilik nama lengkap Nur Qamarina Zulreal itu, tidak ada sekelumit pun dalam hatinya untuk berasa bangga dengan imej seksi seperti yang dilemparkan netizen terhadapnya.

“Sejujurnya saya bukan hendak berbangga dengan imej sebegitu. Saya tidak rasa bangga langsung. Cuma saya ingin beritahu, inilah diri saya yang sebenarnya,” kata Riena.

Belajar

Menyelami isi hatinya saat mula dibenci segelintir peminat, Riena mengakui sedikit terkilan apabila terdapat netizen melemparkan kata-kata hinaan dan kasar, seolah-olah mereka terlalu mengenali dirinya.

Wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mengakui, dia belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.

Pada masa sama, pelakon drama Kampung People yang terkenal dengan watak Lailer itu tidak menganggap apa yang berlaku telah mencalar, sekali gus menjejaskan imejnya yang selama ini dipandang ‘suci’ peminat.

KECAMAN dan hinaan yang bertubi-tubi daripada netizen membuatkan Riena berasa terkejut dan amat terkesan sementelah pertama kali berdepan dengan situasi sedemikian.

“Apa yang boleh saya cakap, saya belajar daripada kesilapan. Saya tidak rasa apa yang berlaku ini telah mencalarkan imej dan nama baik saya.

“Itulah asam garam dalam dunia hiburan. Jadi padan muka sebab kena kecam.

“Pada masa sama, saya bersyukur juga bila keluar cerita-cerita begini, orang mula sedar tentang kehadiran saya dalam industri,” katanya.

Lelaki

Bertanyakan isu lelaki yang pernah memahat dalam hatinya, Riena berkata, bukan mudah untuk melupakan kisah cinta antara bekas teman lelakinya.

Kata Riena, dia reda dan menerima jika jodohnya bukan dengan lelaki itu, namun tidak dapat menipu diri sendiri bahawa dia pada masa sama berharap jika ada jodoh bersama.

“Mungkin kami putus (cinta) sekarang, tahun hadapan mana tahu kami terus berkahwin? Kalau ada jodoh, adalah.

“Kedengaran mungkin saya mengharapkan jodoh dengan lelaki yang sama. Cuma buat masa sekarang, untuk mengenali hati lelaki lain bukan mudah.

BUAT masa sekarang, menjauhkan diri daripada bekas teman lelaki adalah keputusan terbaik buat kedua-dua pihak supaya masing-masing dapat berfikir secara waras tentang keputusan yang hendak dibuat pada masa akan datang.

“Sudah tentu saya susah untuk melupakan cinta kami selepas empat tahun bersama. Buat masa sekarang, saya mahu fokus dengan diri sendiri. Mungkin perasaan cinta itu akan datang kemudian. Tak dengan dia, mungkin dengan lelaki lain,” akur Riena.

Sebelum meminta diri untuk pulang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan, Riena berharap agar kesihatan mentalnya terjaga dan menyerahkan soal jodoh pada Tuhan untuk menguruskannya.

“Saya mahu jaga kesihatan mental dan fokus dengan kerjaya. Soal jodoh, sebelum ini saya menyasarkan untuk berkahwin pada usia 26 tahun (tahun ini). Tapi sekarang biarlah Tuhan yang tentukannya,” tutup Riena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN