fbpx
Azimah Abd Rahim, 37 membawa anaknya, Nurainul Zahirah Rashidi, 6 yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) buta kekal ketika bekerja sebagai penghantar pesanan makanan di Jalan Pantai Murni,Kuala Lumpur.

Jadi Influencer kena jaga adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kelmarin, tular video di TikTok mengenai pemuda ‘menekup’ kek ke muka seorang wanita di sebuah taman permainan. Maka muka mak cik berbaju merah dan bertudung hitam yang dikatakan membawa anak orang kelainan upaya (OKU) dipenuhi dengan krim.

Tindakan pempengaruh media sosial itu mengundang kecaman ramai. Pelbagai gelaran diberikan kepadanya termasuk mengajar tentang erti adab. Menurut lelaki itu, kejadian tersebut adalah prank atau lakonan semata-mata untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Mereka berpakat berlakon, patutlah mak cik tersebut nampak tenang, begitu juga dengan orang di sekeliling mereka.

Semudah itu, pencipta kandungan digital tersebut mahu mencipta nama dan melihat penerimaan orang terhadap apa yang dilakukannya.

Jika ada yang respons dengan memberi tumbukan padu ketika itu apakah penerimaannya juga setenang lakonan yang dibuat?

Adakah dia akan melawan atau bersabar kerana yang mengundang masalah adalah diri sendiri. Ikut logik akal tiada orang akan menekup kek kepada mereka yang tidak dikenali sebegitu rupa.

Sekalipun untuk memberi kesedaran kepada masyarakat atau dikatakan social experiment banyak lagi cara dan content boleh dibuat.

Negara kita mempunyai 28 juta pengguna media sosial termasuk TikTok dan majoritinya adalah orang muda dan pelajar yang sudah tentunya akan memberikan impak negatif. Melihat situasi itu, jangan pelik apabila satu hari nanti tiada lagi mereka yang terpanggil untuk membantu insan lain kerana beranggapan ia hanya prank semata-mata.

Rakyat Malaysia bukanlah jahil, sebaliknya penuh dengan sifat belas ihsan. Jika tidak, bagaimana seorang pak cik yang tinggal di tangga Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendapat perhatian warga kota. Kisah itu tular sehingga dia mendapat tempat perlindungan.

Kisah ibu tunggal, Azimah Abdul Rahim, 37, membawa anaknya menunggang motosikal semasa menghantar makanan juga tidak dipinggirkan.

Malah, ‘Mat Berat’ yang dilaporkan Kosmo! juga mendapat perhatian apabila ramai yang membantu kerana tidak mahu gelandangan yang malas bekerja mati kelaparan.

Biarpun mereka ini gagah dan mampu bekerja, namun disebabkan belas ihsan yang tinggi ada sahaja individu atau organisasi yang tampil menghulurkan makanan. Jangan tenggelam dengan populariti kelak dikhuatiri akan makan diri sendiri.

Tanpa mengira siapa pun diri kita, adab mendahului dan menggambarkan siapa diri kita tanpa perlu kita perkenalkannya.

Biar tidak cantik, namun haruslah beradab dan bukannya biadab.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa melihat kandungan media sosial seperti ini walaupun ia sekadar lakonan atau prank. Sekat atau panggil mereka untuk ‘berbincang’, moga ia tidak jadi barah pada masa akan datang. Kepada pempengaruh, anda berbakat, jangan sia-siakan pengikut yang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN