PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang berhasrat memasuki perkhidmatan awam perlu melalui tapisan menyeluruh yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memandangkan badan itu kini hanya mencari calon berkualiti serta berbakat.
Perunding kerjaya, Hambaly Ahmad berkata, kaedah memasuki sektor awam dilihat berbeza ketika ini apabila lebih memberi fokus kepada proses mencari bakat berkualiti berbanding tumpuan kepada teori sahaja.
“Calon kini ditapis terlebih dahulu dan melalui ujian psikometrik berikutan SPA mahu mencari individu positif, bersemangat dan betul-betul layak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka.
“Selepas ujian psikometrik itu, calon dipilih akan melalui peringkat seterusnya seperti program penilaian, temu duga selain ujian kecergasan bagi mereka yang memohon menyertai badan beruniform,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, peluang kerjaya dalam sektor kerajaan ialah sekitar 15,000 hingga 20,000 kekosongan melibatkan pelbagai gred seperti Gred 19, 29 dan 41, namun jumlah pemohon melebihi ratusan ribu setiap tahun.
“Keadaan itu menterjemahkan bahawa orang ramai mula sedar akan kelebihan menjadi penjawat awam kerana banyak insentif diberikan seperti kenaikan gaji dan pangkat selain menerima pelbagai manfaat.
“Gaji yang ditawarkan di sektor kerajaan juga sudah setanding swasta ekoran graduan yang menjawat jawatan Gred 41 mampu memperoleh sekitar RM3,300 sebulan melibatkan gaji asas sekitar RM2,300 dan elaun RM1,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, pemegang ijazah yang ditawarkan Gred 41 juga mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 selepas 20 tahun perkhidmatan, sekali gus menawarkan kerjaya yang lebih terjamin.
“Jadi, buat anak muda, jangan berputus asa untuk mencuba memasuki perkhidmatan awam meskipun sudah gagal beberapa kali, ia soal rezeki dan bakat. Insya-Allah masa anda akan tiba nanti,” katanya.















