JAKARTA – Sebuah video memaparkan seorang pekerja ladang diangkut menggunakan dron untuk pergi dan balik dari tempat kerja, kini tular dan menjadi bualan hangat netizen, lapor halaman berita CNN Indonesia.
Video tersebut pertama kali dimuat naik oleh akaun TikTok @mbahkaruhon.tiktok.com1.
Pemilik akaun berkenaan, Budianto, 47, yang juga merupakan Pengarah PT Bina Tani Makmur Jombang, mengesahkan kejadian berlaku di sebuah kawasan ladang miliknya di Merakurak, wilayah Jawa Timur, baru-baru ini.
Dalam rakaman yang tular, pekerja berkenaan sempat merakam video sendiri ketika badannya tergantung pada seutas tali yang diikat pada sebuah dron pertanian berkapasiti besar yang sedang terbang tinggi.
Menurut keterangan pada video tersebut, dron itu digunakan khusus untuk menghantar pekerja ladang pulang ke kawasan tempat letak kenderaan yang terletak agak jauh, iaitu sekitar 1.5 kilometer dari kawasan operasi ladang.
Budianto mengesahkan bahawa dron dalam video adalah milik syarikatnya.
Bagaimanapun, dia menyatakan bukan dirinya yang menaiki dron dalam video berkenaan.
“Bukan saya yang naik dron itu. Yang diangkut dengan dron itu ialah ketua pekerja kawasan. Dia adalah rakan kongsi saya,” katanya. – AGENSI














