PUTRAJAYA- Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kekal mandatori bagi pekerja asing selain akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim itu tidak lagi bersifat mandatori untuk pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk membuat pilihan sama ada ingin mencarum di bawah skim tersebut mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.
“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh pihak Perkeso dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Semalam, mesyuarat jemaah menteri memutuskan caruman bagi Skim Lindung 24 Jam bukan bersifat mandatori dan akan dilaksanakan secar sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Walaupun pelaksanaannya kini adalah secara sukarela bagi pekerja tempatan, katanya, skim itu kekal menjadi inisiatif penting dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja.
Katanya, ia sekiranya pekerja mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
“Kesuma akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim ini menjelang penghujung tahun.
“Ini termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan skim ini kekal mampan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, jika diperlukan, hasil penelitian tersebut akan dibentangkan ke Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4]. – KOSMO! ONLINE














