KANGAR – Kumpulan penyeludup dikesan bersubahat dengan penduduk tempatan yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand bagi memudahkan mereka menyeludup dadah termasuk ganja ke negara ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, tindakan itu dilakukan sindiket pengedaran dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa selain modus operandi sindiket yang sentiasa bersifat dinamik bagi memastikan tindakan mereka tidak dikesan.
“Tiada lokasi spesifik dalam penyeludupan dadah dan barang salah kerana pergerakan rutin boleh dikesan penguat kuasa.
“Penyeludup akan cuba menyeludup dengan kaedah berselerak, bukan lokasi sama tetapi berubah-ubah serta menggunakan ‘local knowledge’ untuk bergerak bagi memastikan mereka tidak dikenal pasti,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, antara kawasan tumpuan laluan darat yang dikenal pasti ialah di Wang Kelian, Chuping, Kampung Melayu dan Kampung Kolam, manakala melalui kawasan perairan pula ialah di Kuala Perlis dan Sanglang menjadi pilihan penyeludupan di Perlis.
Ujarnya, pengedar akan menggunakan pelbagai cara untuk bolos sempadan negara termasuk menerusi jalan darat dan laut.
“Mustahil untuk letak personel di setiap pelosok sempadan bagi menyekat penyeludupan dadah kerana bentuk muka bumi tidak mengizinkan. -KOSMO! ONLINE














