SINGAPURA – Dua penduduk Singapura yang berada di atas kapal persiaran MV Hondius kini diasingkan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk menjalani ujian saringan hantavirus, lapor saluran berita CNA hari ini.
Bagaimanapun, keputusan ujian masih belum diperolehi.
Salah seorang daripada mereka mengalami selesema tetapi berada dalam keadaan baik, manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik).
“Risiko kepada orang awam di Singapura buat masa ini adalah rendah,” lapor Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), hari ini.
CDA berkata, pihaknya telah dimaklumkan pada 4 Mei dan 5 Mei lalu bahawa dua individu tersebut berada di atas kapal MV Hondius semasa ia berlayar dari pelabuhan Ushuaia di Argentina pada 1 April 2026.
Kapal tersebut kemudiannya melaporkan penularan wabak hantavirus Andes.
Individu pertama yang merupakan seorang warga Singapura berusia 67 tahun, tiba di Singapura pada 2 Mei lepas.
Individu kedua pula ialah seorang penduduk tetap Singapura berusia 65 tahun dan tiba di Singapura semalam.
Kedua-dua lelaki berkenaan turun daripada kapal tersebut dan berada dalam penerbangan sama dengan pesakit hantavirus yang disahkan bagi laluan dari St Helena ke Johannesburg pada 25 April lalu.
CDA menambah, kes disahkan itu tidak melancong ke Singapura dan telah pun meninggal dunia di Afrika Selatan.
Setakat semalam, lapan kes termasuk tiga kematian telah dikaitkan dengan kluster kapal persiaran tersebut.
Tiga daripada kes berkenaan disahkan jangkitan hantavirus, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
CDA memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini menilai risiko terhadap populasi global sebagai rendah.
Sekiranya kedua-dua penduduk Singapura yang diasingkan di NCID itu diuji negatif hantavirus, mereka tetap dikuarantin selama 30 hari dari tarikh terakhir terdedah pada virus tersebut.
Menurut CDA, ini adalah kerana sebahagian besar kes hantavirus dijangka mula menunjukkan gejala dalam tempoh berkenaan.
Jika diuji positif, mereka akan terus dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan, memandangkan potensi jangkitan hantavirus boleh menjadi sangat serius. – AGENSI














