PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui kegagalannya dalam usaha menyatukan orang Melayu selepas lebih dua tahun berusaha ke arah tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Dr. Mahathir berkata, beliau telah mencuba sedaya upaya untuk menghimpunkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu, namun usaha itu tidak berhasil.
“Saya telah usaha lebih dari dua tahun untuk menyatu orang Melayu. Saya perlu akui saya gagal,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan itu dibimbangi memberi kesan besar kepada masa depan negara dan kedudukan orang Melayu.
Dakwa Dr. Mahathir, keadaan tersebut boleh menyebabkan negara ‘terlepas’ dari tangan orang Melayu sekali gus menamatkan sejarah bangsa itu sekiranya masyarakat terus meletakkan kepentingan pemimpin mengatasi nasib bangsa, negara dan agama.
“Oleh itu negara tercinta ini akan terlepas dari tangan orang Melayu. Dan tamatlah sejarah orang Melayu kerana mereka lebih utama nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama,” katanya.
Hantaran yang dimuat naik petang tadi itu pantas mengundang pelbagai reaksi netizen dengan rata-rata membincangkan maksud tersirat di sebalik kenyataan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Sehingga kini, hantaran berkenaan menerima lebih 1,300 komen dan 490 perkongsian daripada pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE














