PETALING JAYA – Sikap mementingkan diri seorang penumpang lelaki sehingga mengganggu keselesaan pengguna lain di dalam Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Darrius89, lelaki tersebut dilihat duduk dengan kaki terbuka luas sehingga ‘memakan’ ruang tempat duduk di sebelahnya.
Menurutnya, tindakan individu tersebut menyebabkan penumpang lain, termasuk warga emas terpaksa beralih arah dan berdiri kerana ruang tempat duduk telah diambil olehnya.
“Kangkang besar dua tempat duduk dalam LRT. Ada orang tua semua pun ketepi biar kaki kangkang dia besar.
“Benci jenis orang pentingkan diri macam ini. Tempat duduk ada empat, kau pergi duduk tengah macamlah kau besar sangat,” katanya.
Tambahnya, dia kesal apabila ada segelintir pengguna yang menyuruhnya menegur individu terbabit secara berdepan berbanding menularkannya di media sosial.
“Orang tua berdiri depan dia pun buat tak tahu sahaja. Kalau tegur, dia marah pula. Saya tiada masa nak layan benda merapu begini. Cuma nak tunjuk adanya jenis manusia macam ini,” jelasnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ada pengguna yang turut bersetuju dengan sikap individu tersebut yang tidak prihatin terhadap orang lain.
“Tolonglah ada sifat ‘common sense’ (pertimbangan waras). Takkan semua benda nak ditegur. Dekat tempat awam tolong ada adab sikit,” ujar @Le_Dell. – KOSMO! ONLINE














