TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar alat yang digunakan dalam sektor industri atau perniagaan. Sebaliknya, kemudahan itu semakin berkembang dalam ekosistem pendidikan moden.
Seiring usaha Malaysia memperkukuh agenda pendigitalan negara, Samsung Malaysia Electronics tampil memainkan peranan aktif menerusi pengenalan program AI-Powered Classroom by Samsung yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat tersebut dalam memperluaskan akses kepada dunia digital dan AI khususnya generasi muda, sekali gus membantu melahirkan modal insan yang lebih bersedia menghadapi cabaran teknologi dunia.
Program perintis berkenaan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil Banat, Kelantan dengan sokongan SNS Network (M) Sdn. Bhd.
Berbeza dengan pendekatan konvensional yang hanya menumpukan kepada pemberian peranti, Samsung membangunkan ekosistem pembelajaran digital yang menyeluruh.
Setiap bilik darjah dilengkapi dengan tablet Samsung Galaxy Tab A9+, papan pintar untuk guru, stesen pengecasan, sistem penghawa dingin serta infrastruktur digital yang direka bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih selesa, interaktif dan saling terhubung.
Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim berkata, akses kepada teknologi dan peluang pembelajaran digital merupakan elemen penting dalam membina negara yang berdaya tahan serta kompetitif pada masa hadapan.
“Langkah tersebut dianggap sebagai usaha memperkasakan pendidikan dan ia bukan perkara baharu bagi Samsung yang sebelum ini turut terlibat dalam program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada tahun 2022, memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar daripada golongan B40.
“Dengan pelaburan berterusan dalam pendidikan dan teknologi, program AI-Powered Classroom membuktikan bahawa transformasi digital bukan sekadar mengenai penggunaan peranti canggih tetapi bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif, menarik dan relevan.
“Inisiatif itu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan generasi celik digital yang mampu bersaing dalam era AI yang semakin berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bagi guru di SMK Nilai Impian, Farah Faizura Ahmad Rostam memberitahu, membantu pelajar menggambarkan konsep dan sistem yang kompleks menjadi cabaran terbesar dalam mengajar mata pelajaran sains.
“Sebagai seorang pendidik dengan pengalaman mengajar selama lebih 20 tahun, saya sentiasa percaya bahawa sains haruslah berasaskan amali (hands-on), minda (minds-on) dan jiwa (hearts-on).
“Melalui kelas berkuasa AI dan Galaxy Tab, pelajar kini mendapat pengalaman belajar dengan cara yang jauh lebih interaktif, menarik dan sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan mengubah apa yang dahulunya pengalaman berasaskan buku teks semata-mata,” katanya.
Langkah tersebut sejajar dengan perubahan gaya pembelajaran generasi masa kini yang semakin bergantung kepada kandungan visual, interaktif dan akses maklumat secara masa nyata.
Melalui integrasi teknologi AI, pelajar bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah berpeluang memanfaatkan teknologi itu untuk memahami konsep pembelajaran dengan lebih mendalam.
Bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan, Samsung turut bekerjasama dengan Sasbadi Holdings Berhad menerusi platform pembelajaran digital berasaskan AI dikenali sebagai Ace-it.
Platform itu menawarkan nota yang selaras dengan kurikulum kebangsaan, latihan interaktif serta pembantu AI yang membantu guru menyediakan bahan pengajaran dengan lebih mudah dan sistematik.
Kesan positif penggunaan teknologi itu turut dirasai pelajar tingkatan tiga di SMK Nilai Impian, Nurhani Sumayyah Azmal menyifatkan topik yang sukar difahami menjadi lebih mudah mengikut keperluan pembelajaran individu.
“Penggunaan Galaxy Tab juga memudahkan saya untuk mengikuti pembelajaran di dalam kelas, di samping mengurangkan keperluan membawa buku teks yang berat setiap hari.
“Dengan AI, kami dapat meneroka jawapan sendiri dan memahami konsep sukar dengan lebih baik melalui penjelasan peribadi yang menyokong cara kami belajar,” ujarnya.
Kesimpulannya, program AI-Powered Classroom by Samsung membantu menjadikan proses pembelajaran bukan sahaja lebih kreatif dan menarik tetapi membantu meningkatkan fokus pelajar dalam kelas.















