fbpx
Tangkap layar seorang lelaki dipercayai warga asing mencetuskan kekecohan di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur 5 Mei lalu.

Polis kesan lelaki mengamuk di restoran dim sum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan seorang lelaki warga asing dipercayai mabuk selepas bertindak mengamuk dan merosakkan sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama di sini awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh pemilik restoran terbabit pada pukul 11 pagi, 5 Mei lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 Mei 2026 kira-kira pukul 1.56 pagi di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama.

“Pengadu memaklumkan tidak mengenali suspek dan hanya melihat lelaki itu buat kali pertama ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek disyaki warga Nigeria itu bertindak menterbalikkan beberapa meja di sekitar restoran sehingga menyebabkan kerosakan pada premis berkenaan.

Katanya, pengadu tidak berani menghalang tindakan suspek kerana bimbang dicederakan.

“Tiada individu mengalami kecederaan sepanjang kejadian berlaku, namun ramai pelanggan melarikan diri kerana takut dicederakan suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat rakaman televisyen litar tertutup yang merakam kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing mengamuk di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama dengan bertindak menterbalikkan meja serta kerusi premis berkenaan.

Video dimuat naik akaun @My_CrimeWatch di platform X itu dipercayai berlaku pada malam 5 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN