JEMPOL – Kemunculan seekor harimau kumbang di tepi jalan utama Palong 16, di sini menghala ke Keratong, Pahang menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan orang ramai.
Menurut bekas Ketua Peneroka Felda Palong 16, Abdullah Ismail, 65, kejadian seumpama itu baharu pertama kali berlaku dan dipercayai harimau kumbang itu tersesat.
“Maklumat ini dah dikongsikan di dalam group whatsApp penduduk setempat dan saya juga sebaik mengetahuinya sudah meminta penduduk yang menoreh getah untuk tidak melakukan kerja-kerja tersebut pada waktu malam atau awal pagi.
“Harimau ini mungkin tersesat dari hutan yang penduduk kenal sebagai hutan Ramsar dari sebelah Pahang kerana di situ sememangnya kawasan tadahan hujan serta masih memiliki kepelbagaian binatang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dapat mengambil tindakan selanjutnya.-KOSMO! ONLINE.














