LONDON – Pengurus Brighton, Graham Potter dilaporkan bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan Chelsea mengenai keinginan kelab itu untuk melantiknya sebagai pengurus baharu menggantikan Thomas Tuchel.
Potter menjadi calon sasaran pemilik Chelsea, Todd Boehly selepas berjaya membantu Brighton memulakan kempen musim ini dengan cemerlang hasil empat kemenangan daripada enam aksi termasuk menewaskan Manchester United di Old Trafford sebelum ini.
Ahli lembaga pengarah Brighton dilaporkan sudah memberikan kebenaran kepada Chelsea untuk mengadakan rundingan dengan Potter selepas kelab London itu bersetuju dengan nilai pampasan sebanyak £16 juta (RM82.86 juta).
The Blues dikatakan mahu rundingan ini berlangsung dengan pantas untuk memastikan Potter mampu untuk mengambil alih tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Tuchel secepat mungkin sebelum aksi hujung minggu berlangsung.
Boehly mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £200 juta (RM1.03 bilion) pada jendela perpindahan lalu untuk membawa masuk pemain baharu bagi menguatkan pasukan itu, namun mereka berdepan situasi sukar pada permulaan musim.
Chelsea sekadar meraih tiga kemenangan daripada enam perlawanan termasuk berdepan dua kekalahan menyaksikan mereka sekadar menghuni tangga keenam dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kemuncak kesabaran Boehly terhadap Tuchel berakhir selepas Chelsea tewas mengejut 0-1 kepada Dinamo Zagreb pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin menyaksikan pengurus dari Jerman itu terpaksa melepaskan tugasnya.
Dalam pada itu, Chelsea dilaporkan perlu membayar pampasan sebanyak £15 juta (RM77.68 juta) ekoran pemecatan Tuchel apabila pengurus berkenaan dijangka menerima sebanyak £13 juta (RM67.32 juta), manakala bakinya akan diberikan kepada staf kejurulatihan yang lain.
– AGENSI














