KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan amaran terakhir kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selepas mendapati bersalah menghina mahkamah ketika mengeluarkan perkataan tidak wajar kepada seorang anggota polis bertugas sewaktu prosiding perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Jun lalu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas menerima pernyataan maaf tidak bersyarat yang dikemukakan oleh Lokman sambil menasihati beliau supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.
Hakim berkenaan mendapati bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu bersalah dan memaafkannya selepas mengambil kira penjelasan yang dikemukakan kepada mahkamah dan meneliti semua keadaan kes.
“Mahkamah menerima pernyataan maaf tanpa syarat dan tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap kamu,” ujarnya pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.
Terdahulu, Lokman mengaku mengeluarkan perkataan `bodoh’ sewaktu perbicaraan terhadap Presiden UMNO namun tidak ditujukan kepada Lans Koperal Walter Lee Yun Fui ketika ditegur berhubung penggunaan telefon bimbit.
Sebaliknya, beliau mengaku hanya merungut dan meluahkan kekecewaannya kepada seorang rakan yang dikenali sebagai Hafiz yang duduk di sebelahnya, tanpa mengganggu prosiding perbicaraan.
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan bahawa Lokman memilih untuk dibicarakan dalam prosiding menghina mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kata-kata tidak wajar terhadap anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah yang dikatakan tidak adil kepadanya.
Mahkamah diberitahu, Lokman tidak memanggil anggota polis mahkamah itu ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah bodoh kerana bersikap tidak adil kepadanya.
Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman agar beliau menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana menghalang tugas anggota polis pada perbicaraan kes Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE.