SEOUL – Tentera udara Amerika Syarikat (AS) menghantar enam jet pejuang halimunan F-35A ke Korea Selatan bagi menjalani latihan ketenteraan bersama buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Jet-jet pejuang AS dari Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska itu tiba kelmarin, kata pasukan Tentera AS di Korea (USFK) dalam satu kenyataan.
Ia akan beroperasi dalam misi latihan gabungan bersama selama 10 hari di Korea Selatan dan perairan sekitar luar pantainya.
“Penerbangan suai kenal dan latihan rutin akan meningkatkan kebolehoperasian tentera udara kedua-dua negara di sekitar Semenanjung Korea,” kata USFK.
Dalam pada itu, Korea Selatan akan menerbangkan pelbagai pesawat ketika misi latihan tersebut termasuk jet F-35A milik negara itu, tambah USFK.
Seoul telah membeli 40 jet Lockheed Martin generasi kelima dan bercadang membeli 20 jet sama dalam beberapa tahun akan datang.
“Latihan ini adalah untuk menunjukkan gabungan postur pertahanan kukuh bagi pakatan Korea Selatan-AS, sambil meningkatkan kesalingoperasian antara tentera udara kedua-dua negara,” kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan.
Ketibaan pesawat pejuang F-35A menandakan penghantaran pertama jet itu ke Semenanjung Korea untuk tujuan latihan sejak Disember 2017, ketika ketegangan nuklear dengan Korea Utara memuncak.
Seoul dan Washington telah mengurangkan latihan bersama dalam beberapa tahun kebelakangan ini di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump dan Presiden Moon Jae-in.
Presiden Korea Selatan yang baru dilantik, Yoon Suk-yeol telah mengambil tindakan yang lebih keras terhadap Korea Utara di samping meningkatkan hubungan pertahanan dengan AS. – Agensi














