KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak dapat meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas ‘tumbang’ di pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu dikejutkan dengan kekalahan straight-set 20-22, 10-21 kepada pemain Israel, Daniil Dubovenko.
Zii Jia yang baru sahaja kembali ke saingan kompetitif selepas pulih daripada kecederaan buku lali memulakan aksi set pertama dengan langkah positif apabila mendahului 15-12, namun gagal menghalang kebangkitan lawan.
Hasilnya, Dubovenko berjaya menyamakan kedudukan 15-15 sebelum kedua-dua pemain saling bertukar servis, namun tuah lebih memihak kepada lawan yang menghuni ranking ke-60 dunia itu untuk mencatat kemenangan 22-20.
Memasuki set kedua, Zii Jia gagal untuk mengekalkan momentum terbaik selain membenarkan Dubovenko mendominasi sepenuhnya permainan sebelum akur dengan kekalahan 10-21, sekali gus tersingkir daripada saingan.
Terdahulu, bekas pemain No.2 dunia itu hadir dengan reputasi cukup baik apabila tidak pernah kalah dalam mana-mana perlawanan ketika membantu skuad badminton kebangsaan pada saingan Piala Thomas 2026 bulan lalu. – KOSMO! ONLINE














