PETALING JAYA – Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah dipenuhi oleh orang ramai yang hadir untuk menyembahyangkan jenazah mangsa kemalangan ngeri di Kuala Kangsar semalam.
Melalui sebuah rakaman klip video di TikTok yang dikongsi oleh @Shafiqalsukri menunjukkan orang ramai berpusu-pusu ke masjid untuk solat jenazah.
Digelar kematian yang dicemburui, rata-rata pengguna media sosial memberi kata-kata yang positif dan mendoakan lima mangsa itu.
“Indah sungguh sebuah persahabatan ikatan silaturahim sesama insan budiman dunia dan akhirat yang sukar diucapkan dengan kata-kata hingga ke akhir hayat tetap terpahat namamu diingatan,” tulis Wan Johan.
“Berehatlah di syurga wahai anak-anak muda yang soleh, semoga ahli keluarga arwah diberikan ketabahan,” komen Kausar Salleh.
“Asbab kebaikan yang arwah buat semasa di dunia, Allah tunjuk semasa pemergian arwah, sayangnya Allah pada arwah lima sahabat ini. Rehatlah kalian di taman syurga Allah, seluruh rakyat Malaysia mendoakan kalian, masa hayat kami tak kenal kamu tetapi masa pemergian kamu seluruh rakyat kenal,” ujar Putra Suria. – KOSMO! ONLINE.