PETALING JAYA – Pembukaan pintu sempadan antarabangsa di Kelantan dan Perlis selepas lebih dua tahun ditutup akibat Covid-19 menarik lebih ramai pengembara dari Thailand masuk ke negara ini seterusnya dapat merancakkan kembali sektor ekonomi.
Dalam sehari, kira-kira 100 hingga 150 pengembara Thailand direkodkan masuk ke negara ini sejak pintu sempadan dibuka pada 5 Mei lalu.
Sementara kira-kira 50 hingga 100 rakyat Malaysia memasuki Thailand dalam tempoh sama.
Di Kangar, Perlis, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, setakat ini, seramai 770 pengembara dari kedua-dua negara direkodkan melintasi sempadan antarabangsa di Padang Besar dekat sini hingga kelmarin.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 65 peratus adalah pengembara dari Thailand yang memasuki Malaysia bagi pelbagai tujuan sebagai tenaga kerja dalam pelbagai sektor.
“Jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu ini kerana telah menjadi kebiasaan umat Islam di selatan Thailand akan memasuki negara ini dalam tempoh satu minggu selepas sambutan Aidilfitri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambah Ruzaini, pihaknya mendapati, trend keluar masuk pengembara ini didorong keputusan kerajaan kedua-dua negara membenarkan penggunaan pas sempadan yang banyak memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berbanding penggunaan pasport.
“Selain itu, faktor mata wang Thai Baht yang mengukuh berbanding ringgit juga dilihat menyumbang kepada faktor kemasukan pengembara dari negara jiran ke Malaysia,” ujarnya.
Kadar tukaran mata wang asing sekitar 7,900 Baht berbanding RM1,000 pada minggu ini.
Ruzaini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri memaklumkan pasangan yang bernikah di Thailand juga boleh mendapatkan surat pengesahan pernikahan di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Surat pengesahan pernikahan tersebut itu akan digunakan untuk mendaftarkan pernikahan tersebut di Perlis,” jelasnya.
Dalam pada itu, di Tumpat, Kelantan, kira-kira 50 hingga 100 orang rakyat Malaysia direkodkan memasuki Thailand sehari dalam tempoh lima hari sejak sempadan di Kelantan dibuka bermula 5 Mei lalu.

Seorang rakyat Malaysia, Wan Ibrahim Wan Yusoff, 64, berkata, dia bersama isterinya, Faridah Yudoff, 58, bersyukur berpeluang menziarahi keluarga isterinya di Narathiwat, Thailand selepas
tiga tahun tidak pulang ke kampung.
Menurutnya, dia sempat tinggal selama dua malam di rumah keluarga isterinya sebelum pulang semula ke rumah sanak saudara lain di Kampung Binjai, Kota Bharu semalam.
“Saya berniaga di Gombak, Selangor dan pergi ke Narathiwat untuk melawat saudara mara di sana. Alhamdulillah, kami sekeluarga memenuhi prosedur dan syarat ditetapkan untuk mendapat pas sempadan ke Thailand, ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini semalam mendapati, seramai 20 orang rakyat Malaysia diarah berpatah balik semalam selepas mereka tidak memenuhi prosedur permohonan pas sempadan untuk ke Thailand.
Pemegang pasport Malaysia atau Thailand sepatutnya memohon pas sempadan secara dalam talian menerusi laman web pihak berkuasa negara berkenaan dua hari sebelum memulakan perjalanan.
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd. Hamid berkata, selain kelulusan pas sempadan, rakyat di negara ini juga hanya dibenarkan masuk ke Thailand sekiranya lengkap tiga dos vaksin Covid-19.
Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, tidak ramai yang mengetahui prosedur dan syarat ditetapkan jabatan imigresen dan pihak berkuasa Thailand sehingga mengakibatkan mereka terpaksa berpatah balik dan menunggu dua hari.
“Ramai rakyat Malaysia ingin ke Thailand menerusi tiga ICQS di negeri ini, namun kebanyakannya tidak memenuhi syarat ditetapkan.
“Mereka dilihat kurang peka dengan prosedur ditetapkan. Pengembara dinasihat untuk berhubung dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan sebarang keperluan dan prosedur operasi standard yant ditetapkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














