PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Johor dan Sabah hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Johor, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu) dan Tawau (Lahad Datu).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














