KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia berpendirian untuk meneruskan tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, tanpa dipengaruhi sebarang keputusan yang dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kemungkinan Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho mendapat pengampunan adalah urusan dalaman Amerika Syarikat, namun Malaysia kekal berpegang kepada proses perundangan.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita ikut jalan hukum. Itu (pengampunan) soal keputusan negara Amerika Syarikat, itu urusan mereka.
“Tetapi pendirian kita tidak terpengaruh atau terganggu mahupun tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, Cheras di sini hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Jho Low disenaraikan antara individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan ketika Trump dikatakan meneliti sehingga 250 pengampunan sempena ulang tahun ke-250 negara tersebut. – KOSMO! ONLINE














