Tangkap layar video Dr. Akmal di akaun Facebooknya.

Semalam menang, hari ini Dr. Akmal turun padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belum pun sehari selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh hari ini kembali turun padang menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dilihat menunggang motosikal bagi bertemu penduduk setempat selain meninjau beberapa masalah yang dihadapi mereka.

Antara isu yang mendapat perhatiannya termasuk masalah tebing runtuh, kebocoran bumbung rumah serta kerosakan longkang yang memerlukan tindakan susulan.

Dalam rakaman berkenaan, beliau turut dilihat berbual dengan beberapa penduduk bagi mendengar sendiri aduan mereka selain meninjau keadaan kawasan yang mengalami kerosakan.

Sementara itu, menerusi hantaran sama, Dr. Akmal memaklumkan tempoh rehat selama dua minggu sudah berakhir dan beliau kini kembali memberikan tumpuan kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Cuti dua minggu sudah habis. Masa berkempen saya telah bermula pada hari ini sehingga lima tahun ke depan.

“Anak kampung untuk orang kampung,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan Dr. Akmal yang tidak menunggu lama untuk kembali menjalankan tanggungjawab selepas memenangi pilihan raya.

“Yang Berhormat tidak berehat. Malam tadi menang, pagi ini kita sambung kerja,” komen Abdul Wahid Ibrahim.

Seorang lagi pengguna, Sumantri Isa berkata, Dr. Akmal dilihat sentiasa mendekati penduduk di kawasannya dan bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Orang lain berkempen 14 hari, YB Akmal ini berkempen empat tahun. Setiap lorong dan parit longkang dia kenal,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syuhada turut memuji kesungguhan Dr. Akmal yang terus turun padang meskipun baru sahaja memenangi pilihan raya.

“Belum angkat sumpah dah jalan kerja. Alhamdulillah, rezeki orang-orang Merlimau dapat YB buat kerja,” katanya.

Semalam, Dr. Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berjaya mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada PRN Melaka ke-16 sekali gus meneruskan mandat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau sebelum ini memenangi kerusi DUN Merlimau pada PRN Melaka 2021 atas tiket Barisan Nasional (BN). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN