Tanya Mufti
Minta penjelasan tentang hukum seorang suami menggunakan mahar yang telah diberikan kepada isterinya?
Jawapan:
Mahar adalah hak isteri. Haram mengambil mahar tersebut daripada isteri, melainkan dengan keredaannya.
Jika suami mengambilnya tanpa kerelaan, bererti dia mengambil secara haram. Jika dia ambil, wajib dia kembalikan.
Zalim dan haram perbuatan tersebut. Jika berlaku perceraian tanpa sempat dia melunaskan mahar, bererti itu hutang yang wajib dia bayar dan berdosa besar jika dia tidak melunaskannya.
Allah berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 20-21: (maksudnya) “Dan jika kamu mahu menggantikan isteri dengan isteri yang lain sedang kamu telahpun memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak adil dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu pada hal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
Ada pun, jika isteri reda tanpa paksaan memberikan kepada suami hartanya, sama ada mahar atau selainnya, maka itu adalah hak isteri.
Dengan syarat isteri tidak diperdayakan atau dipaksa untuk melakukan hal tersebut.
Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 4: (maksudnya) “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mahar-mahar mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan rela memberikan kepada kamu sebahagian daripada mahar itu, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) dengan selesa dan senang.”















