fbpx

Hasrat kebumi jasad datuk tak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT-MAYAT mangsa tragedi kepala air yang ditemui berhampiran lokasi kejadian di Jambatan Telemong, Bentong pada 20 Disember 2021.

BENTONG – Harapan sebuah keluarga untuk mengebumikan mayat seorang ahli keluarganya yang hilang dalam tragedi kepala air di Telemong selepas 50 hari kejadian berkenaan masih samar apabila masih tiada petunjuk mengenai jasad mangsa sehingga hari ini.

Mangsa, Ahmad Yahaya, 71, yang berasal dari Felda Chemomoi, di sini sehingga kini masih hilang selepas kejadian kepala air yang menghanyutkan enam mangsa pada 18 Disember lalu.

Sehingga kini hanya lima mayat mangsa termasuk anak kepada warga emas berkenaan telah ditemui.

Cucu mangsa, Ahmad Amir Amzar Yumarzaki, 27, berkata, harapan keluarganya untuk mengebumikan mangsa tidak kesampaian selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap satu mayat yang ditemui baru-baru ini tidak sepadan.

“Memang kami berharap agar ujian berkenaan sepadan supaya jenazah dapat dikebumikan, namun kami reda ujian ini kerana tidak sepadan.

“Bagaimanapun kami masih menaruh harapan agar jasad datuk dapat ditemukan dan meminta orang ramai khususnya pemilik ladang di kawasan berhampiran sungai dapat membantu dalam mencari,” katanya di sini semalam.

Menurut Ahmad Amir Amzar, pada masa ini dia dan keluarga yang lain hanya mampu berdoa agar mayat mangsa dapat di­temui dalam kadar segera selepas hampir dua bulan hilang dibawa arus.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, setakat ini tiada petunjuk dalam misi pencarian seorang lagi mangsa dalam kejadian kepala air di Telemong.

Katanya, pihak berkuasa me­lakukan pemantauan berterusan dalam pencarian mangsa.

Kosmo! pada 21 Disember 2021, melaporkan lima mayat ditemui dan seorang lagi dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI