SEBERANG PERAI – Jenazah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Iskandar Affan Ibrahim yang maut dalam kemalangan tragis di Kampung Baru Pinang Tunggal, Kedah, petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, awal pagi tadi.
Lebih 50 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta jiran tetangga hadir memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dikebumikan kira-kira pukul 2 pagi.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah datuk mangsa di Kampung Permatang Kuang apabila jenazah dibawa pulang terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir ahli keluarga sebelum disolatkan di masjid.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halaman selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam tadi.
Sementara itu, lima lagi mangsa yang maut dalam nahas sama dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Tiga Pasir, Merbok, Sungai Petani, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang Ahad, enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani. – KOSMO! ONLINE














