SEORANG wanita sememangnya hebat dalam menjalani kehidupan sama ada seorang diri atau di alam berumah tangga.
Kisah Dari Mahkama Syariah minggu ini memaparkan cerita tentang seorang wanita yang menahan perasaan dengan sikap suaminya yang tidak bertanggungjawab hingga anak-anak mereka besar dan berkerjaya.
Selepas itu, dia memutuskan untuk berpisah dengan suami di usia emas.
———————————————————————————————————————————————-
SELAMA ini saya mempertahankan perkahwinan yang dibina hampir 32 tahun cuma kerana
anak-anak,” luah seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Zakiah berusia awal 60-an.
Menurut Zakiah, setelah tiga anaknya membesar dan masing-masing mempunyai kerja serta mampu berdikari, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya yang juga berumur 60-an.
Baginya, itulah keputusan yang tepat dilakukan kerana sudah tidak mahu lagi bersama dengan seorang lelaki yang memiliki sikap panas baran dan tidak pernah jujur dalam perhubungan mereka.
“Saudara-mara terkejut apabila kami memilih untuk berpisah di usia emas.
“Malah anak-anak saya juga menyokong untuk saya berbuat demikian kerana kami memiliki sejarah tersendiri apabila tinggal bersama seorang lelaki yang sering berasakan dirinya sahaja yang betul,” katanya.
Menurut Zakiah, tidak dapat dinafikan, dia agak ‘kurang’ dalam pendidikan dan tidak berpelajaran. Setelah berkahwin pula, dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa.
Suaminya yang dikahwini itu memiliki kerja yang baik dan mempunyai kemampuan untuk menyara keluarga.
Namun, suaminya itu mempunyai sikap panas baran sehingga Zakiah dan anak-anak sering menjadi mangsa amarahnya.
Selain itu, Zakiah menjelaskan, sepanjang perkahwinan, suaminya juga tidak jujur dan curang dengannya dengan menjalinkan hubungan bersama wanita lain.
“Jika diikutkan hati, saya ingin berpisah dengannya sejak dahulu lagi. Tetapi jika kami berpisah anak-anak akan menjadi mangsa keadaan.
“Saya tidak yakin jika saya berpisah saya akan mampu mendapat pekerjaan yang baik bagi membesarkan tiga anak kami,” jelasnya.

Tambahnya, langkah terbaik baginya pada ketika itu adalah untuk terus bertahan walaupun rasa kasih dan sayang kepada suami tercinta telah lama hilang.
Menurutnya, anak-anaknya sendiri tidak pernah diberi kasih sayang yang sepatutnya oleh bapa mereka sewaktu kecil.
“Ketika kecil saya pernah melihat bagaimana anak-anak sendiri dimarahi oleh ayah mereka jika meminta sesuatu yang harganya bukanlah terlalu mahal.
“Saya kemudian mengambil keputusan untuk berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan bagi membolehkan anak-anak tidak selalu meminta kepada ayah mereka,” ujarnya.
Tambahnya, anak-anaknya sendiri membenci bapa mereka dan lebih rapat dengan Zakiah.
Apabila anak-anak meningkat dewasa, mereka mula mengetahui bahawa bapa mereka telah berlaku curang kepada Zakiah.
Itu juga menjadi penyebab mereka semakin menjauhkan diri daripada bapa mereka.
“Anak-anak saya jarang berkomunikasi dengan ayah mereka. Mereka juga ketika kecil amat takut dengan suami saya,” dedah Zakiah.
Dalam pada itu, Zakiah menjelaskan, suaminya juga selalu memberi wang perbelanjaan yang tidak mencukupi setiap bulan.
Ada ketikanya, suaminya itu mengambil wang hasil jualan nasi lemak Zakiah tanpa pengetahuannya apabila kewangan lelaki itu sesak.
Zakiah menjelaskan, sepanjang dia mempertahankan perkahwinan mereka itu, suaminya langsung tidak berubah.
“Boleh dikatakan saya derita sepanjang hidup bersamanya tapi yang membuatkan saya terus kuat untuk bertahan adalah anak-anak,” jelasnya.
Sementara itu, Zakiah menjelaskan, apabila ketiga-tiga anak meningkat dewasa dan mempunyai kerjaya, mereka memilih untuk tinggal bersendirian.
Malah, anak-anaknya turut mengajak Zakiah untuk tinggal bersama mereka.
“Anak-anak menyatakan bahawa mereka sudah mempunyai kemampuan untuk menyara saya.
“Akhirnya setelah berfikir panjang saya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami dan memilih untuk tinggal bersama anak-anak saya,” katanya.
Terang Zakiah, keputusan yang dibuat itu tepat kerana pada ketika itu juga suaminya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang janda muda.
“Suami saya tidak berkata apa-apa ketika saya minta untuk dilepaskan dan dia langsung tidak cuba untuk mempertahankannya,” kongsinya.
Akhirnya, Zakiah dilepaskan oleh suaminya dan mereka sah bercerai di sebuah mahkamah syariah.
Kini, dia mengakui berasa lebih gembira menjalani kehidupan berbanding sebelum ini.














