KUALA LUMPUR – Seramai 20 individu ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, semalam.
Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal mingguan pada pukul 9 malam itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 77 pegawai serta anggota polis telah dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan 20 pesalah trafik menerusi operasi tersebut termasuk empat orang lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi zig-zag, roket dan superman.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Sementara itu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 50(3) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) APJ 1987 kerana kesalahan mendesak mana-mana orang lain berkenaan penjagaan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sarifudin, tangkapan terakhir melibatkan 15 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 251 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita enam buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” jelasnya. – K! ONLINE














