DARI jauh, bangunan berbentuk silinder berwarna perak berdiri gah di tengah-tengah kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Ditubuhkan pada tahun 1993, ia kemudian dikenali sebagai Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) pada tanggal 11 Jun 2013 sebagai tanda penghormatan kepada Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, puteri tunggal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Di sebalik tembok konkrit yang dilihat umum, gedung ilmu itu baru-baru ini disebut-sebut sebagai perpustakaan yang terbesar dan canggih di Malaysia serta Asia Tenggara. Tular di media sosial, rata-rata netizen melahirkan rasa keterujaan mereka untuk mengunjungi perpustakaan berkenaan.
Tatkala mendengar perkhabaran itu, Muhammad Faris Abdul Hadi, 23, sebagai salah seorang pelajar UTHM berasa sangat teruja apabila perpustakaan universitinya mendapat perhatian netizen.
Akui pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dengan kepujian itu, PTTA merupakan lokasi paling kondusif dan tenteram untuk menyiapkan tugasan dan mencari bahan rujukan.
Katanya, kebanyakan buku di situ berbentuk akademik dengan latar belakang kejuruteraan.

Jadi kata Muhammad Faris, pelajar sepertinya memanfaatkan peluang yang ada itu untuk ‘menggali’ sebanyak mungkin input yang tersedia.
Merupakan mercu tanda UTHM, bangunan yang didakwa sebagai perpustakaan terbesar dan canggih itu ternyata bukan sekadar gah pada status tersebut bahkan mempunyai keunikan dan identitinya yang tersendiri.
Tidak seperti kebanyakan perpustakaan lain, bangunan ini direka berkonsepkan reka bentuk moden, lestari dan bangunan hijau mengambil kira keperluan rekaan tenaga efisien.
Menurut Ketua Pustakawannya, Zaharah Abd. Samad, bangunan ikonik berbentuk silinder itu mempunyai pelan bangunan yang bersesuaian dengan konsep bagi melambangkan ciri kejuruteraan yang ingin ditonjolkan universiti itu.
“Perpustakaan ini mempunyai rongga court yard di bahagian tengah untuk membenarkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi masuk ke dalam bangunan.
“Dinding luaran bersegi mirip kepada bentuk gear juga dapat menghasilkan tingkap sisi yang lebih dinamik untuk kesemua ruang di dalam perpustakaan.
“Justeru, PTTA berfungsi sebagai lokasi yang mempunyai nilai estetik untuk merangsang aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan penerokaan ilmu pengetahuan warga kampus, bersesuaian dengan motonya, Di Sini Hikmah Bermula,” katanya.

di perpustakaan ini berbentuk ilmiah dan dalam bidang kejuruteraan.
Berkeluasan 16,000 meter persegi, ruang tersebut mampu memuatkan sehingga 300,000 jilid koleksi buku dan boleh menampung kapasiti sehingga 3,000 pengguna pada satu-satu masa di lima aras berbeza.
Bukan itu sahaja, perpustakaan tersebut turut menyediakan ruang belajar yang luas dan lebih kondusif untuk memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.
Ia mempunyai 118 bilik karel, 40 bilik perbincangan, dua bilik seminar, bilik penyelidikan pasca siswazah, auditorium, bilik pencarian maklumat, bilik rujukan terhad, bilik jurnal, bilik bacaan 24 jam dan ruang jamuan.
Biarpun berkapasiti besar, namun perpustakaan ini hanya dikendalikan oleh 72 kakitangan dengan 17 daripadanya ditempatkan di bahagian Perkhidmatan Pelanggan yang bertanggungjawab menguruskan koleksi bahan rujukan sama ada dari segi penyusunan, peminjaman, pemulangan, pemeliharaan mahupun pemuliharaan bahan.
“Perpustakaan ini menawarkan pelbagai jenis koleksi bahan rujukan dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi, sains sosial serta pengetahuan am.
“Selain buku-buku biasa, PTTA turut mempunyai 35,000 unit audio-visual dan 262,000 judul sumber maklumat dalam talian terdiri daripada 14 pakej pangkalan data, lima pakej e-buku dan lain-lain lagi,” ujarnya.
Paling menarik apabila bangunan perpustakaan tersebut tidak terhad untuk dimanfaatkan kepada warga kampus semata-mata.

di perpustakaan lima tingkat di UTHM ini.
Sebaliknya, ia menyebarluaskan peranannya sebagai pusat ilmu dan maklumat tanpa batasan kepada masyarakat luar sejak tahun 2012 lagi.
Menerusi penyertaan masyarakat luar sebagai ahli perpustakaan, ia telah merancakkan lagi aktiviti pembacaan, penyelidikan dan pencarian maklumat yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan.
Ini amat diperlukan dalam era globalisasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan pada masa kini.
Disebabkan saiz perpustakaan yang besar dan menampung ribuan bahan bacaan bercetak mahupun digital untuk kegumaan umum, bahan-bahan tersebut dikelaskan mengikut bidang perkara berdasarkan Sistem Pengkelasan Library of Congress dari Amerika Syarikat.
Kata Zaharah lagi, menerusi sistem tersebut, PTTA menggunakan abjad dan nombor bagi memberi nombor panggilan kepada setiap bahan.
Kesemua nombor panggilan tersebut penting bagi mengenal pasti lokasi rak dan kandungan sesuatu bahan.
“PTTA telah mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2015 sejak 28 Disember 2001.
“Justeru, terdapat beberapa prosedur kerja yang telah didokumentasi dan perlu diimplementasi oleh staf terlibat dalam pembangunan dan pengurusan koleksi serta perkhidmatan yang ditawarkan.
“BS ISO 11620:2014 (Information and Documentation Library Performance Indicator) juga menjadi rujukan utama dalam memastikan pengoperasian perpustakaan adalah selaras dan mematuhi piawaian tempatan dan global,” jelasnya.
Terangnya lagi, selari dengan perubahan semasa, PTTA memanfaatkan perkembangan teknologi semasa dengan menggunakan sistem automasi.
Ia bagi mengurus dan merekod maklumat bibliografi koleksi bahan rujukan agar dapat dicapai pengguna dengan lebih berkesan.
Menerusi penggunaan aplikasi teknologi terkini itu, ia dapat meningkatkan lagi produktiviti staf dalam pengurusan koleksi dan perkhidmatan yang disediakan.
Projek automasi sistem perpustakaan telah dimulakan pada tahun 1997 dengan menggunakan Virginia Technology Library System (VTLS).
Bagaimanapun, pada Disember 2002, ia digantikan dengan Utiliti Pengurusan Perpustakaan Bersepadu (ILMU) dan pada tahun 2010 ditukarkan kepada SirsiDynix Symphony.
“Terkini, bermula 1 Januari lalu bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada pengguna, PTTA sekali lagi membuat pertukaran sistem pengurusan perpustakaan kepada sistem automasi sumber terbuka KOHA.
“Penggunaan sistem tersebut membolehkan pengguna membuat carian bahan melalui Online Public Access Catalog (OPAC) atau dikenali sebagai OSCAR (Online Smart Catalogue and Academic Resources) tanpa batasan waktu dan lokasi.
“Selain itu, mereka juga dapat membuat pinjaman buku dengan lebih cepat dan mudah dengan menggunakan mesin peminjaman layan diri,” ujarnya.
















