BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diletakkan sebagai antara sandaran untuk menghadiahkan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung mulai 23 Julai ini.
Meskipun menampilkan aksi agak memberangsangkan sebelum ini, namun kemarau kejuaraan yang diharungi beregu No. 9 dunia itu mungkin sedikit menggusarkan kem badminton negara.
Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Flandy Limpele berkata, beliau sedia mencari ramuan terbaik bagi mengakhiri kemarau tersebut pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.
Sejak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Julai tahun lalu, pengendali dari Indonesia itu mengakui, beliau sudah bekerja keras untuk mempersiapkan Aaron-Wooi Yik bagi menggalas misi pada Olimpik nanti.
“Berhubung kemarau kejuaraan beregu ini, ia perlukan strategi. Saya akan cuba kuatkan mental mereka bagi memastikan kedua-dua pemain ini boleh tampilkan aksi maksimum pada Sukan Olimpik nanti.
“Secara jujur, persiapan mana-mana negara hampir sama dengan kita kerana banyak kejohanan terpaksa dibatalkan. Saya juga sudah siapkan mereka (Aaron-Wooi Yik) sebaik mungkin.
“Saya sudah sediakan apa yang mereka perlukan selain memperbaiki mana-mana kelemahan dalam corak permainan. Dengan usaha ini, saya harap mereka boleh berjaya pada Sukan Olimpik,” kata bekas pemain Indonesia itu.
Pada masa sama, beliau juga percaya status anak buahnya yang diletakkan sebagai ‘underdog’ mampu meredakan sedikit tekanan apabila turun berentap di gelanggang nanti.
“Sebenarnya saya mahu tengok undian terlebih dahulu kerana tidak mahu letak sasaran jauh sangat. Kami hanya mahu fokus satu demi satu perlawanan supaya objektif tidak tersasar.
“Bagaimanapun, saya akui tekanan lebih kurang jika turun sebagai ‘underdog’ nanti dan ia sesuatu yang bagus. Bagi saya, ia sangat positif buat pemain,” ujarnya.














