PETALING JAYA – Hasrat mendapatkan sokongan ketika berdepan masalah emosi boleh bertukar menjadi pengalaman mengecewakan apabila panggilan ke talian bantuan tidak berjawab seperti diharapkan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @natashabintinordin, dia berkongsi pengalaman dan memuat naik rakaman mesej suara automatik ketika menghubungi Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, selepas beberapa kali diminta menunggu, pemanggil akhirnya dimaklumkan bahawa kesemua pegawai khidmat pelanggan sedang melayan panggilan lain dan diminta menghubungi semula sebentar lagi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut menceritakan pengalaman masing-masing ketika cuba mendapatkan bantuan menerusi talian berkenaan.
Seorang pengguna @hairafazilah berkata, dia pernah menghubungi talian itu beberapa tahun lalu ketika berada dalam keadaan emosi tidak stabil.
“Daripada tengah melalak sampai terus termenung tunggu mereka jawab. Sudahnya terus masak samyang dan tengok Netflix. Terus happy (gembira),” katanya secara berseloroh.
Seorang lagi pengguna @abel4lyfee berkongsi pengalaman menghubungi talian berkenaan sekitar pukul 3 hingga 4 pagi ketika berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan seseorang untuk berbual.
“Waktu itu saya sudah bersedia untuk terjun dan rasa nak berbual dengan seseorang buat kali terakhir. Ada seorang lelaki angkat, suara mamai, kemudian dia minta saya balik rumah dan tidur.
“Saya terkedu, matikan panggilan dan termenung sekejap sebelum terus berjalan kaki balik. Rasa sangat tidak membantu dan itu kali terakhir saya cuba minta bantuan daripada sesiapa,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna @tonah.3657 berkongsi pengalaman positif apabila Talian Kasih membantu individu yang dikenalinya keluar daripada persekitaran keluarga yang melakukan penderaan.
“Talian Kasih inilah yang dulu bantu seseorang yang saya kenal rapat keluar daripada keluarga yang mendera dia. Selepas panggilan dibuat, pihak polis datang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menjalankan siasatan. Memang sangat membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














