Antara peserta yang mengikuti kurus anjuran GiatMara Negeri Sembilan.

GiatMara bantu golongan rentan jana pendapatan melalui pembuatan beg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan rentan khususnya ibu tunggal dan suri rumah berpeluang menjana pendapatan sendiri menerusi kemahiran pembuatan beg yang ditawarkan melalui kursus jangka pendek GiatMara.

Program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu memberi tumpuan kepada latihan praktikal selama lima hari atau kira-kira 40 jam bagi membantu peserta mengembangkan kemahiran sedia ada kepada produk yang mempunyai nilai komersial.

Timbalan Pengarah GiatMara Negeri Sembilan, Mohd Zairin Mohamad Yunus berkata, program berkenaan memberi peluang kepada golongan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membina sumber pendapatan menerusi perniagaan kecil-kecilan.

Mohd Zairin menunjukkan produk yang dihasilkan peserta yang telah mengikuti kursus berkenaan.

Menurutnya, seramai 10 peserta terpilih mengikuti latihan pembuatan pelbagai jenis beg termasuk tote bag dan clutch bag mengikut kreativiti serta permintaan pasaran.

“Program ini bukan sekadar bertujuan memberikan kemahiran baharu, malah membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan kemahiran sedia ada kepada produk yang mempunyai nilai komersial.

“Kemahiran menghasilkan beg mempunyai potensi pasaran tersendiri dan boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan, khususnya bagi golongan wanita yang mempunyai komitmen keluarga atau pekerjaan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, setiap peserta turut menerima elaun RM400 selain kemudahan peralatan penekap butang dan seterika bagi membantu mereka meneruskan penghasilan produk selepas tamat latihan.

Katanya, pemilihan peserta dibuat berdasarkan dokumen permohonan dan kelayakan dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan termasuk individu tidak bekerja, suri rumah serta orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, tenaga pengajar, Nuraini A. Jalil berkata, peserta perlu mempunyai asas jahitan memandangkan tempoh latihan yang singkat serta penggunaan mesin jahit dan peralatan khusus dalam menghasilkan beg.

Sepanjang latihan, peserta berpeluang mempelajari kira-kira lima jenis beg bergantung kepada tahap penguasaan dan keupayaan masing-masing.

Selain kemahiran menghasilkan produk, peserta turut didedahkan kepada pemasaran digital termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan poster promosi untuk menarik pelanggan menerusi platform seperti WhatsApp dan TikTok.

“GiatMara turut merancang melaksanakan pemantauan selama tiga bulan selepas kursus bagi menilai perkembangan peserta, termasuk hasil pembelajaran dan keupayaan mereka menjana pendapatan melalui produk yang dihasilkan,” katanya.

Mengulas kejayaan program terdahulu, beliau berkata, kira-kira 80 peratus peserta daripada beberapa siri latihan sebelum ini berjaya menjadikan kemahiran yang dipelajari sebagai sumber pendapatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN