Mohd. Azmawi Fikri duduk (kanan) menemani Samsiah Asim (tiga dari kanan) membuat permohonan sijil kelahiran di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sempena Program Kembara Rakyat Nenggiri di Kampung Bukit Beringin, Pos Pulat. Foto AIMUNI TUAN LAH

Wanita Orang Asli 50-an masih tiada MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli berusia 50-an di Kampung Bukit Beringin, Pos Pulat, di sini masih belum memiliki MyKad selepas kelahirannya tidak pernah didaftarkan sejak kecil.

Samsiah Asim yang dipercayai orang kurang upaya (OKU) juga tidak mempunyai sijil kelahiran apabila arwah ibu bapanya tidak mendaftarkan kelahirannya kerana kesukaran untuk keluar dari penempatan bagi menguruskan dokumen.

Adiknya, Abok Sumrei Angah, 32, berkata, kakak sulungnya itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan berikutan masalah pengangkutan dan akses ke kawasan bandar pada masa dahulu.

“Dahulu penduduk di kawasan pedalaman sangat sukar untuk keluar dari penempatan. Jadi, arwah ibu tidak mendaftarkan kelahiran kakak sehingga dia berkahwin dan tinggal bersama arwah suaminya.

“Kakak juga seorang OKU, mengalami masalah pertuturan yang sukar difahami dan jarang bercakap. Kelakuannya juga tidak seperti wanita seusianya. Tiga anak kakak pula dijaga oleh kami adik-beradik selepas kematian suaminya,” katanya ketika ditemui di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sempena Program Kembara Rakyat Nenggiri di Kampung Bukit Beringin, Pos Pulat.

Menurut Abok, ketiadaan MyKad menyebabkan kakaknya tidak dapat menikmati bantuan kerajaan termasuk membuat permohonan kad OKU serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, keluarga berharap permohonan mendapatkan sijil kelahiran Samsiah dapat dipermudahkan bagi membolehkan wanita itu seterusnya memohon MyKad.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, program turun padang dengan membawa agensi kerajaan ke kawasan pedalaman diharap dapat memberi lebih manfaat kepada penduduk terutama Orang Asli yang berdepan kesukaran untuk berurusan di bandar.

Katanya, pendekatan itu memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan tanpa perlu ke bandar Gua Musang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN