Tangkap layar memaparkan kereta Toyota Hilux yang dipercayai dipandu individu terlibat cuba merempuh beberapa orang awam.

Rempuh orang awam lepas gagal curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat beberapa individu cuba mencuri kabel terbantut apabila tindakan tidak bermoral itu dihalang oleh sekumpulan orang awam dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku dekat Skudai, Johor semalam.

Berdasarkan satu video dikongsikan @asmawi_mukhtar di aplikasi Threads semalam, beliau turut mendedahkan beberapa orang awam yang membantu menghalang tindakan itu juga dilaporkan dilanggar oleh individu terlibat.

“Cubaan mencuri kabel digagalkan oleh orang awam. Akhirnya orang awam dilanggar oleh pencuri-pencuri kabel. Kenapa ya, sudah banyak kali video pasal berlakunya kecurian ini disebarkan dalam media sosial, tapi pencuri ini macam tidak takut saja,” katanya.

Berdasarkan perkongsian video itu, sebuah kereta Toyota Hilux dipercayai dipandu pencuri terbabit juga dilihat cuba merempuh orang awam yang cuba menghalang kecurian berkenaan.

Dalam video sama turut kelihatan beberapa motosikal mengalami kerosakan selain terdapat visual kaki seorang individu terperangkap di bawah sebuah kereta Proton Wira.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi orang awam termasuk ada yang meminta hukuman berat dikenakan kepada individu terlibat.

“Gila betul perangai pencuri sekarang, makin berani. Harap hukuman berat dikenakan,” kata @Safrizal82.

“Sebab itu sangat disarankan untuk simpan apa-apa barang untuk pertahankan diri atau boleh bantu orang dalam kesusahan seperti ini,” ujar @arm_patah.

Sementara itu, Kosmo! juga sedang mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN