KUALA LUMPUR – Menggunakan bateri yang diubah suai untuk membuka pagar automatik kediaman dipercayai antara modus operandi kumpulan pecah rumah yang aktif melakukan jenayah merentasi negeri sehingga mengakibatkan kerugian RM293,500.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu berjaya ditumpaskan selepas dua lelaki tempatan berusia 40 dan 44 tahun ditahan menerusi Op Pintu Kit pada 16 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan berkenaan menyasarkan rumah teres yang tidak mempunyai pengawal keselamatan selain melakukan jenayah pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah.
“Suspek masuk melalui pintu hadapan dengan mengumpil pagar, dan bagi rumah yang dilengkapi pagar automatik, suspek disyaki menggunakan bateri yang diubah suai untuk membuka pagar tersebut.
“Risikan polis turut mengenal pasti seorang ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, kedua-dua suspek ditahan hasil risikan dan tindakan pantas Bahagian Risikan/Operasi (D4) JSJ Bukit Aman ketika menaiki sebuah kenderaan di kawasan Taman City, di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari.
Katanya, tangkapan itu dilakukan dalam tempoh kurang daripada sejam selepas kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Rainbow, Jalan Ipoh, di sini, dilaporkan berlaku.
Turut dirampas sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, pelbagai jenis telefon bimbit, tablet, jam tangan, komputer riba serta wang tunai RM1,000.
Beliau menambah, polis turut merampas tiga set nombor pendaftaran kenderaan, pakaian, sarung tangan, pelitup muka serta pelbagai peralatan pecah rumah termasuk bateri yang telah diubah suai.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 67 rekod lampau membabitkan 62 rekod jenayah dan lima rekod dadah.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 41 rekod membabitkan kesalahan pecah rumah, manakala seorang lagi suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek pertama positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin (AMP/METH) Menerusi penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah membabitkan tujuh kes di Selangor, Perak (lima), Pahang (dua) dan Kuala Lumpur (satu).
“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan memastikan kediaman sentiasa dikunci menggunakan kunci tambahan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta menyimpan barangan berharga di tempat selamat.
“Orang ramai yang melihat kenderaan atau individu mencurigakan di kawasan perumahan turut digesa segera menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE














