PETALING JAYA – Seorang warga emas, Ariffin Abdul Manan, 60, atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Ariffin membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya menamatkan cabaran Ironman 70.3 Langkawi hari ini dalam masa tujuh jam 19 minit 57 saat.
Pencapaian Pak Cik Ariffin mencuri perhatian ramai selepas beliau berjaya menamatkan larian sejauh 30 kilometer (km) tanpa kasut dalam acara Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU) baru-baru ini.
Pak Cik Ariffin bersyukur kerana berjaya menamatkan ketiga-tiga disiplin dan tidak menghampakan harapan anaknya yang mendaftarkan beliau untuk menyertai pertandingan itu.
“Gembira kerana tak mensia-siakan harapan anak. Alhamdulillah, hari ini selamat dan dapat selesaikan tugasan,” katanya.
Mengulas mengenai Ironman, lelaki itu berkata, dia berdepan cabaran ketika acara larian apabila kakinya mula terasa ‘ketat’ dan mengalami kekejangan selepas berlari sejauh lapan kilometer (km) .
Katanya, keadaan itu lebih mencabar kerana larian dilakukan selepas mengharungi dua disiplin iaitu berenang dan berbasikal.
“Biasanya kalau kita lari 20km pada waktu pagi, kali ini lari pada tengah hari selepas berbasikal. Memang terasa, kaki mula ketat dan rasa hendak kejang,” katanya.
Pak Cik Ariffin mengakui bukan mudah untuk menyelesaikan cabaran berkenaan kerana itu merupakan pengalaman pertamanya menyertai Ironman 70.3.
Pak Cik Ariffin turut menitipkan pesanan kepada golongan seusianya supaya tidak menjadikan usia sebagai alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal.
“Tak mengapa kalau suka pergi minum atau mengopi, tetapi pergilah berlari. Kalau tak boleh berlari, berjoging. Tak boleh berjoging, kayuh basikal. Lama-lama selepas tiga atau empat bulan, Insya-Allah akan ada rasa perubahan,” katanya.
Kejayaan itu turut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang kagum dengan kemampuan warga emas tersebut.
“Tahniah pak cik! Semoga Allah kurniakan keberkatan umur dan kesihatan yang berpanjangan untuk pak cik,” komen @phyqoh.
“Powerlah (hebat) pak cik. Malu saya yang muda tak macam pak cik,” tulis seorang lagi pengguna.
“Idola Pak Cik Ariffin. Kasut grounding, seluar panjang tutup aurat, minum pun duduk, pakai kopiah rileks saja. Memang the real Iron Man,” komen @_onysnkop0n.
“Alhamdulillah, pak cik selesaikan semua dengan selamat. Yang comelnya, kopiah tak tinggal,” tulis @chegulatipah. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














