Saya pernah terbaca bahawa apabila kita memasuki umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca suatu doa yang diajar oleh al-Quran melalui Surah al-Ahqaf ayat 15: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)”.
Adakah hal ini benar? Adakah doa ini disunatkan untuk dibaca setelah umur kita genap 40 tahun?
JAWAPAN: Berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf itu, sebagai tanda syukur, insaf dan pengharapan. Namun tidak semestinya seseorang perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.
Doa yang dimaksudkan itu merupakan potongan daripada firman Allah SWT: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu)”. (Surah al-Ahqaf, 15)
Menurut Imam Ibn Kathir, pada asalnya ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 40 tahun untuk memperbaharui taubat kepada Allah SWT.
Sebahagian ulama lain pula menyebut bahawa ayat itu dianjurkan untuk dibaca sebagai doa, tatkala umur mencapai 40 tahun, dan amalan ini ada diriwayatkan daripada golongan salaf.
Imam al-Razi menyebut: “Diriwayatkan bahawa tatkala Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mencapai umur 40 tahun, beliau berdoa: ‘Allahumma auzikni an asykura’ hingga ke akhir ayat”.
Imam al-Syaukani pula berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang yang mencapai umur 40 tahun mestilah memperbanyakkan membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf) ini.
Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula menambah: “Apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun yang merupakan marhalah kesempurnaan akal dan fizikal, dia mestilah mensyukuri nikmat Allah ke atasnya, dan memohon taufik daripada-Nya untuk melakukan amal soleh yang diredai-Nya, serta mengurniakan pula kebaikan yang terpasak kukuh pada anak dan zuriatnya.
Kesimpulannya, berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut, namun tidak semestinya kita perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa itu wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.














