PULANG ke Kuala Lumpur selepas menyertai pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, Aina mengakui sangat terharu dalam masa sama gementar berdepan gelombang sokongan yang sebegitu hebat daripada rakyat Malaysia.

‘Seperti bermimpi, adakah ini realiti’ – Aina terharu dapat ucapan PMX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal, Aina Abdul mengakui gementar apabila menerima gelombang sokongan luar biasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan artis dan peminat sebelum beraksi di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Penyanyi berusia 33 tahun itu berkata, dia tidak pernah menerimah sokongan dan kata-kata semangat sebanyak itu sejak bergelar anak seni.

“Ya, saya sebenarnya takut apabila melihat terlalu ramai yang menyokong kerana perkara itu menjadi tekanan. Seumur hidup, saya tidak pernah menerima sokongan sebegitu terutama apabila orang ramai menulis ucapan ‘good luck’ kepada saya.

“Saya tidak pernah melalui momen itu, jadi tidak tahu bagaimana mahu menyesuaikan diri.

“Perkara itu agak membebankan emosi kerana saya berasa seolah-olah semua orang terpaksa mengucapkan selamat berjaya kepada saya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu, dia bagaimanapun menganggap setiap ucapan dan kata-kata semangat tersebut sebagai doa terutama daripada rakan-rakan artis yang sudah memahami asam garam dunia pertandingan.

“Namun, perkara itu saya kira sebagai doa daripada rakan-rakan artis dan saya percaya mereka juga sudah pernah merasai situadi yang saya lalui.

“Golongan artis senior itu semuanya pernah menyertai pertandingan seperti saya, jadi mereka tahu situasi tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aina turut menzahirkan rasa terharu apabila ramai rakan selebriti menghubunginya sejurus pertandingan berakhir bagi bertanyakan khabar dan keadaannya.

“Terdapat ramai rakan artis yang menghantar mesej kepada saya selepas pertandingan. Bagi saya, tindakan itu lebih ikhlas kerana mereka benar-benar risaukan keadaan saya.

“Selepas pertandingan tamat pada pukul 11 malam, sudah ada yang menghantar mesej pada pukul 11.05 malam untuk bertanya keadaan saya. Jadi terima kasih banyak kepada anda. Anda tahu siapa diri anda yang menghantar mesej sebaik sahaja pertandingan tamat dengan menunjukkan keprihatinan serta risaukan saya,” tuturnya.

Mengulas mengenai ucapan daripada Perdana Menteri, Aina menyifatkan perhatian yang diberikan oleh pemimpin nombor satu negara itu sesuatu yang tidak pernah dibayangkan selama ini.

“Sudah tentu kepada Perdana Menteri kesayangan kita (PMX), saya rasa seperti bermimpi. Saya tertanya-tanya adakah ini realiti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu beliau fikirkan.

“Saya bimbang disebabkan peminat saya mendesak, jadi beliau terpaksa membuat ucapan tersebut. Namun, terima kasih banyak kepada beliau,” ujarnya.

Aina dalam masa sama menzahirkan rasa syukur terhadap pencapaian yang diraih biarpun tidak berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Saya berharap keputusan ini dapat membanggakan semua pihak. Walaupun mungkin kita tidak berada dalam kelompok tiga terbaik, namun kedudukannya sudah sangat hampir dengan kelompok tiga terbaik, insya-Allah.

“Alhamdulillah atas apa yang Allah sudah kurniakan ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Aina menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Thailand dengan mengumpul 152 markah keseluruhan.

Pertandingan tersebut dijuarai peserta dari Filipina, Thailand di tempat kedua dan tangga ketiga diraih penyanyi asal Vietnam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN