Anggota bomba melakukan operasi pencarian menggunakan bot di Sungai Luit, Hulu Selangor, hari ini. - JBPM SELANGOR

Selaman di lokasi petunjuk K9 cari mangsa terakhir kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Operasi selaman di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan petunjuk Unit K9 menjadi tumpuan pencarian mangsa terakhir tragedi kepala air Sungai Luit berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima itu bermula pukul 8.30 pagi dengan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk 26 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 17 anggota agensi sokongan.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan pencarian dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu Sektor C dan Sektor D bagi memastikan operasi dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh.

Menurutnya, operasi pencarian bermula pukul 8.50 pagi dengan penglibatan Unit K9 menerusi kaedah sniff searching di Sektor C bagi mengenal pasti lokasi berpotensi untuk tindakan lanjut.

“Susulan petunjuk yang dikenal pasti Unit K9, pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melaksanakan operasi selaman di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, pasukan bot turut menjalankan kaedah Donut/Expanding Square dan Surface Searching di kedua-dua sektor bagi memperluaskan kawasan pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, di sini ditemukan pada Jumaat lalu.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat lelaki warga India yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan pukul 3.40 petang di kawasan pencarian Sektor C.

Pada Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pukul 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi mangsa dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.

Ashrul Riezal berkata, operasi turut dibantu Unit Udara yang menggunakan sebuah dron bagi tujuan pemantauan dari udara serta mengenal pasti kawasan berpotensi.

Katanya, seramai 25 anggota digerakkan khusus bagi operasi pencarian sebelah pagi dengan menggunakan lima bot terdiri daripada tiga bot JBPM, sebuah bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali dan sebuah bot Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas perancangan operasi sebelah petang, beliau berkata, pergerakan pasukan akan ditentukan berdasarkan penilaian semasa keadaan cuaca, paras air dan arus sungai.

“Faktor keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi kawasan operasi ini pernah mengalami dua kejadian kepala air sebelum ini iaitu pada 11 November lalu, pukul 3.30 petang dan 14 November, pukul 1 pagi.

“Perkara itu diambil kira dalam perancangan operasi khususnya membabitkan perubahan aliran sungai, keadaan dasar sungai serta risiko kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan secara bersepadu dengan mengoptimumkan kepakaran serta aset semua agensi terlibat bagi memastikan usaha mengesan mangsa dapat dilaksanakan dengan berkesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN