fbpx
HUSNA menyiram air mawar ke pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin, Singkir Laut di Yan, hari ini.

‘Sepatutnya hari ini mak ayah tengok saya atas pentas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – “Sepatutnya mak ayah tengok saya di atas pentas, bukannya saya tengok mereka dalam liang lahad.”

Demikian luahan pilu Husna Syakira Abd. Halim, 23, yang kehilangan ibu bapanya iaitu Abd. Halim Bakar, 64, dan Siti Sara Abd. Rahman, 58, dalam kemalangan di Gerik, Perak ketika mereka dalam perjalanan untuk menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia masih sukar menerima hakikat apabila hari yang sepatutnya menjadi detik paling membahagiakan dalam hidupnya bertukar menjadi kenangan paling menyedihkan.

Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan ibunya adalah menerusi panggilan video daripada abangnya kira-kira pukul 1 tengah hari semalam ketika mereka berhenti di Banjaran Titiwangsa.

“Abang telefon untuk bertanya sama ada makanan sudah tersedia di atas meja sebelum menghalakan telefon kepada mak. Ketika itu saya nampak mak seperti bercahaya dan tersenyum gembira.

“Itulah kali terakhir saya berhubung dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin di Singkir Laut, di sini hari ini.

Pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu kubur kira-kira pukul 6 petang tadi.

Lebih memilukan, kata Husna, bapanya turut membawa kamera baharu yang dibeli khas kerana mahu merakam detiknya naik ke atas pentas konvokesyen.

“Ayah beritahu dia bawa kamera yang baru dibeli dan cakap dia nak ikut saya masa saya nak naik atas pentas (konvokesyen) tetapi saya tengok kamera itu sudah rosak dah patah (akibat kemalangan),” ujarnya yang merupakan bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran).

Katanya, ibu bapanya juga begitu teruja membuat persiapan untuk menghadiri majlis berkenaan sehingga sanggup membeli kasut dan pakaian baharu untuk dipakai pada hari istimewa itu.

Menurutnya lagi, berita mengenai kemalangan tersebut diterima kira-kira pukul 2.30 petang ketika dia keluar membeli kasut bagi majlis konvokesyen di sebuah pusat beli-belah.

“Semasa saya keluar dari parkir pusat beli-belah itu, saya dapat pangilan daripada kakak yang beritahu ada seorang individu tidak dikenali buat panggilan video beritahu mak ayah sudah tiada sebelum tunjuk keadaan abang dalam keadaan berlumuran darah. Waktu itu saya hanya mampu menangis,” katanya yang sudah bekerja di Kuala Lumpur.

Tambahnya, dia reda dengan kejadian itu dan akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya supaya dia bekerja dengan baik, menjauhi perkara tidak elok serta sentiasa pandai menjaga diri.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka parah selepas kenderaan Perodua Alza dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 72, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, Perak kira-kira pukul 1.40 tengah hari semalam.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abd. Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd. Rahman, 58, manakala anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN