SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mencabar pembatalan pelantikan mereka di mahkamah sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Menurutnya, beliau terkejut apabila 10 bekas Exco kerajaan negeri mengambil tindakan memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Sembilan, yang disifatkannya sebagai ‘kerajaan saman kerajaan’.
“Saya terperanjat apabila 10 mantan Exco kerajaan Negeri Sembilan menfailkan saman kepada kerajaan negeri, kerajaan mereka sendiri dan juga menuntut kos daripada kerajaan. Ini merupakan satu perkara yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
“Saya tak tahu bagaimana ia boleh berlaku, siapa yang menasihati mereka dan akhirnya mengundang banyak perkara yang sepatutnya telah diselesaikan lebih awal,” katanya yang berkongsi pandangan di media sosial beliau.
Kenyataan itu susulan laporan bahawa 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE














