fbpx
Soon Yaw (kanan) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menjual 529 unit telefon bimbit yang menggunakan cap dagangan palsu pada Februari lalu.

Pemilik syarikat didenda RM40,000 jual telefon bimbit tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang pemilik syarikat didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual 529 buah telefon bimbit menggunakan cap dagangan palsu, Februari lalu.

Tertuduh yang juga orang kena saman (OKS), Wong Soon Yaw, 37, turut berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Soon Yaw mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilucut hak kepada kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, Soon Yaw selaku pemilik syarikat didapati memiliki bagi maksud perdagangan sebanyak 529 buah telefon jenama Oppo yang menggunakan cap dagangan berdaftar milik Guangdong Oppo Mobile Telecommunications Corp. Ltd. tanpa kebenaran.

Telefon pintar itu terdiri daripada 115 buah model A31, A74 5G (12), A83 (12), A56 5G (6), A3S (14), Reno3 (1), A73 5G (365) dan A53 (4).

Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat di Jalan Besar Gunung Rapat, Gunung Rapat di sini pada pukul 12.25 tengah hari, 5 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, N. Shamani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Soon Yaw membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN