Antara mahasiswa UiTM dan anak-anak PDK Kampar yang menyertai Program Inklusiviti Tanpa Sempadan di PDK Kampar, Perak.

Mahasiswa UiTM dekati komuniti OKU menerusi aktiviti rekreasi inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMPAR – Seramai 14 anak-anak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampar, Perak menyertai Program Inklusiviti Tanpa Sempadan: Menyemai Keprihatinan, Membina Kebersamaan bagi memberi peluang kepada golongan berkeperluan khas menikmati aktiviti rekreasi secara inklusif.

Program yang berlangsung hari ini itu dianjurkan lapan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sukan (SR241) secara Pendidikan Jarak Jauh (e-PJJ) dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Penganjuran program berkenaan bagi memenuhi keperluan kursus Recreation for Persons with Disabilities (SRT650) di bawah bimbingan pensyarah, Hisyam Che Mat.

Pelbagai aktiviti rekreasi adaptif dilaksanakan sepanjang program itu, antaranya Explorace Berhalangan, Baling Pundi Kacang dan Balancing Game Zig Zag.

Aktiviti berkenaan dirancang bagi menggalakkan penyertaan aktif, meningkatkan keyakinan diri serta merangsang kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Selain itu, aktiviti Explorace Suai Gambar dan permainan mengenal warna menerusi balingan beg pundi kacang ke dalam bakul berwarna turut memberi peluang kepada peserta meneroka kebolehan masing-masing.

Program itu melibatkan 14 anak PDK berusia antara empat hingga 14 tahun yang mempunyai pelbagai keperluan khas termasuk ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan, Sindrom Down, autisme serta ketidakupayaan intelektual.

Hisyam berkata, program berkenaan turut memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa mengenai perancangan dan pelaksanaan aktiviti rekreasi yang bersesuaian dengan keupayaan serta keperluan individu.

Menurutnya, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti berkeperluan khas juga dapat menyemai nilai empati, kesabaran, toleransi dan semangat saling membantu dalam kalangan mahasiswa.

“Rekreasi bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, malah berperanan sebagai medium membina hubungan sosial, meningkatkan keyakinan diri dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau berharap pengalaman menerusi program itu dapat membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan komuniti.

Sebagai tanda penghargaan, anak-anak PDK yang menyertai program itu turut menerima beg cenderahati sebagai kenangan.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penyelia PDK Kampar, Nor Azian Abd Rahman serta tenaga pengajar, Junaidah Adnan@Ahuan, Faezah Abdullah Subor dan Nor Shahidayu Yuhani atas sokongan serta kerjasama diberikan.

Program itu diharap dapat menyemarakkan semangat kesukarelawanan, empati dan rekreasi adaptif dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat, sekali gus membantu membentuk komuniti lebih prihatin dan inklusif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN