MADRID – Michael Carrick berdepan ujian besar untuk meredakan tekanan terhadap Manchester United apabila bakal berkunjung ke gelanggang Atletico Madrid sekali gus dituntut membuat perubahan segera selepas bergelut mencari rentak kemenangan.
Pertembungan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Metropolitano, awal pagi esok, bukan sekadar peluang buat The Red Devils memburu kemenangan, malah menjadi ujian terhadap kemampuan Carrick mengembalikan kestabilan pasukan yang terus dibelenggu prestasi tidak menentu sejak era Sir Alex Ferguson berakhir pada 2013.
Sejak dilantik sebagai pengurus tetap, Carrick berdepan situasi turun naik bersama United dan kini berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris, iaitu pencapaian terburuk pasukan itu di awal musim sejak 1986/87.
Keputusan seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur, kelmarin pastinya meningkatkan lagi tekanan terhadap Carrick dimana United hanya menang dua kali dalam lapan perlawanan di semua pertandingan.
“Realitinya tetap realiti dan kami perlu menerimanya. Kami perlu mengubah keadaan ke arah yang lebih positif dengan segera. Perkara itu cukup jelas,” kata Carrick.
Bagaimanapun, skuad The Red Devils memulakan kempen di pentas Eropah dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Azerbaijan, Sabah FK 4-0 pada perlawanan pertama.
Kekuatan utama Atletico Madrid pula lebih berpaksikan kemampuan pengurusnya, Diego Simeone yang kekal konsisten dalam saingan domestik di Sepanyol walaupun terpaksa berdepan kekuatan kewangan dimiliki Barcelona dan Real Madrid.
Di pentas Eropah juga Atletico Madrid sentiasa bersaing di pentas Eropah sejak 2013/14 dan turut memiliki beberapa pencapaian agak baik. – AGENSI














