PETALING JAYA – Di sebalik kesedihan kehilangan insan tersayang, sebuah keluarga memilih untuk memberi peluang kehidupan kepada pesakit lain apabila bersetuju mendermakan organ seorang lelaki berusia 64 tahun di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
HRPB memaklumkan, lelaki berkenaan sebelum itu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum usaha pendermaan organ dimulakan menerusi pendekatan pasukan Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Jabatan Neurosurgeri kepada ahli keluarganya.
Menurut HRPB, selepas diberikan penerangan dan memahami proses yang terlibat, keluarga pesakit dengan penuh keikhlasan memberikan persetujuan untuk mendermakan organ.
“Hasil penilaian dan proses koordinasi pendermaan, buah pinggang dan tisu mata telah dikenal pasti untuk didermakan.
“Proses perolehan organ telah dilaksanakan semalam dan mengambil masa melebihi enam jam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut kenyataan itu, prosedur perolehan buah pinggang mengambil masa hampir empat jam sebelum diteruskan dengan proses mendapatkan tisu mata.
Katanya, tempoh berkenaan mencerminkan ketelitian, kesabaran dan komitmen pasukan terlibat bagi memastikan organ serta tisu yang sesuai dapat didermakan kepada pesakit yang sedang menanti.
Kes itu diselaraskan Unit Perolehan Organ (UPOH) HRPB dengan kerjasama pasukan klinikal dan sokongan selain Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC).
Turut membantu adalah pasukan Urologi dari Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah.
Dalam pada itu, HRPB merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penderma selain penghargaan atas keikhlasan dan ketabahan mereka membuat keputusan tersebut ketika berdepan kehilangan insan tersayang.
“Dalam kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga telah memilih untuk memberikan peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.
“Keputusan yang lahir daripada keikhlasan ini bukan sahaja memberi makna kepada sebuah kehilangan, malah membuka ruang kepada harapan baharu untuk mereka yang sedang menanti.
“Sesungguhnya, pendermaan organ merupakan satu bentuk kasih sayang dan kemanusiaan yang manfaatnya dapat diteruskan kepada insan lain yang memerlukan,” katanya.
HRPB dalam masa yang sama turut menghargai semua jabatan, pasukan klinikal dan sokongan yang terbabit dalam menjayakan proses pendermaan tersebut. – KOSMO! ONLINE














